Najib Bebas Dan Lepas Kes Pinda Laporan Audit 1MDB: Kemenangan Buat Kami, Kata Rosmah

najib laporan audit 1mdb kemenangan

Najib Bebas Dan Lepas Kes Pinda Laporan Audit 1MDB: Kemenangan Buat Kami, Kata Rosmah

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membebaskan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai satu kemenangan buat keluarganya.

Beliau berkata keputusan itu sudah tentu memulihkan semangat dan sangat dinanti-nanti bukan sahaja oleh Najib tetapi juga keluarga mereka.

“Syukur, Alhamdulillah, kes hari ini adalah satu kemenangan bukan sahaja untuk suami saya (Najib) tetapi kepada keluarga kami.

“Datuk kata dia (Najib) pun rasa bersyukur. Ini adalah satu kemenangan untuk beliau. Harap, insya-Allah… perkara yang lebih baik akan datang,” kata Rosmah ketika ditemui media selepas selesai prosiding kes itu hari ini.

Terdahulu Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie case terhadap kedua-dua mereka di akhir kes pendakwaan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan itu telah menaikkan semangat bekas perdana menteri itu.

“Datuk Seri Najib mahu berkomunikasi dengan media, beliau ingin memberitahu anda (media) bahawa beliau bersyukur kepada Allah dengan keputusan ini hari ini kerana ia benar-benar menaikkan semangatnya,” kata beliau ketika ditemui selepas keputusan perbicaraan kes itu.

Muhammad Shafee berharap Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak akan mengemukakan rayuan.

Sementara itu, ketika ditemui media, Arul Kanda berterima kasih kepada semua yang menyokongnya sejak beberapa tahun lalu.

“Saya sangat gembira. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang termasuk keluarga, rakan dan pasukan guaman saya. Saya rasa langkah seterusnya yang segera ialah mengemas kini resume saya,” katanya.

BACA: 1MDB: Leonardo DiCaprio Dan Kim Kardashian Disiasat FBI

Sumber: Bernama

The post Najib Bebas Dan Lepas Kes Pinda Laporan Audit 1MDB: Kemenangan Buat Kami, Kata Rosmah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*