Najib Sendiri Penyebab Gagal Rayuannya, Tiada Unsur Ketidakadilan, Kata Mahkamah Persekutuan

najib gagal rayuannya

Najib Sendiri Penyebab Gagal Rayuannya, Tiada Unsur Ketidakadilan, Kata Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) — Mahkamah Persekutuan memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebenarnya menjadi penyebab prosiding rayuan beliau bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tidak didengar oleh panel hakim terdahulu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang membacakan penghakiman majoriti 4-1 itu, telah menolak permohonan bekas perdana menteri untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

“Tiada penafian hak pemohon (Najib) dan tiada pelanggaran keadilan dalam kes itu,” katanya.

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Baca: Bayar RM1 Pun ‘Rider’ Hantar, Ni Cara Nak Dapat Cas ‘Delivery’ Paling Rendah Bila Pesan Makanan

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Dalam penghakimannya, Ong berkata peguam Najib sendiri yang enggan membuat penghujahan lisan sejak permulaan prosiding rayuan tahun lepas, walaupun peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim sebelum ini yang menolak rayuan itu.

Menyentuh mengenai penangguhan rayuan Najib yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, Ong berkata mahkamah mempunyai budi bicara mutlak untuk membenarkan atau tidak sebarang penangguhan dan panel terdahulu telah menggunakan budi bicara mereka secara bijaksana.

“Oleh itu, tiada merit untuk semakan keputusan itu,” kata hakim.

Mengenai permohonan Najib untuk semakan terhadap pelepasan peguamnya (Hisyam) daripada mewakilinya semasa rayuan tersebut, hakim itu berkata mahkamah mendapati pendapat pemohon bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan pelepasan peguam itu tidak boleh dipertahankan kerana kuasa itu ada, diperuntukkan dalam Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Sementara itu, mengenai permohonan Najib untuk semakan semula sabitan dan hukumannya, mahkamah memutuskan panel terdahulu telah mempertimbangkan 94 alasan rayuan, penghujahan bertulis dan keputusan mahkamah terdahulu yang mendengar kes Najib.

Oleh itu, penghakiman majoriti membuat kesimpulan bahawa tiada merit untuk semakan keputusan mahkamah terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, kata hakim itu.

“Pemohon berhujah bahawa haknya telah dicabuli. Bagaimanapun, di sini jelas pemohon adalah punca nasib malangnya sendiri. Kami tidak nampak sebarang sebab untuk menyemak sebarang keputusan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu.

“Setelah mempertimbangkan semua rekod, mahkamah mendapati bahawa semua sabitan awal terhadap pemohon adalah selamat dan hukuman yang dikenakan terhadap pemohon tidak keterlaluan, dan oleh itu, disahkan,” kata Ong.

Mengenai permohonan semakan berhubung keengganan Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan itu, hakim itu berkata undang-undang mengenai penarikan diri juga telah diselesaikan dengan baik berdasarkan prinsip ujian “bahaya berat sebelah”.

Beliau berkata keputusan Tengku Maimun untuk tidak menarik diri disokong oleh ahli panel yang lain dalam penghakiman berasingan.

Hakim itu selanjutnya berkata tiada kegagalan korum dalam apa jua perkara kerana hakim boleh mendengar sebarang penarikan diri yang dibuat terhadap mereka.

Mengenai permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu terhadap Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim itu berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menafikan permohonan tersebut berdasarkan penilaian yang betul terhadap keterangan di hadapannya.

“Kami menegaskan bahawa proses semakan di bawah Peraturan 137 tidak seharusnya disalahgunakan. Sehubungan itu, permohonan semakan itu ditolak,” katanya.

Bukti baharu itu adalah mengenai Mohd Nazlan yang pada 2006 adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan.

Keputusan hari ini adalah penamat percubaan Najib untuk dibebaskan kerana permohonan semakannya di mahkamah tertinggi dalam negara ini adalah jalan terakhirnya melalui prosiding mahkamah.

Ini bermakna Najib, 69, akan menjalani baki hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang.

Pada 23 Ogos lepas, panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini, diketuai oleh Tengku Maimun, menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman. Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang pada hari yang sama.

Sumber: Bernama

The post Najib Sendiri Penyebab Gagal Rayuannya, Tiada Unsur Ketidakadilan, Kata Mahkamah Persekutuan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*