Negeri Sembilan wujudkan pusat operasi, koordinasi hadapi bencana

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mewujudkan pusat operasi yang bertujuan mengkoordinasi maklumat dan logistik sebagai kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dikenali sebagai Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM), pusat operasi tersebut diwujudkan dengan mendapat kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang melibatkan beberapa jabatan berkaitan.

Jelas beliau, data-data berkaitan seperti paras air sungai, tanah runtuh, keadaan jalan dan ramalan cuaca dikumpulkan seterusnya dipaparkan di NeSCOM bagi persediaan berdepan bencana.

“NeSCOM ini juga diwujudkan susulan kejadian banjir besar  yang berlaku pada penghujung tahun 2021 membabitkan beberapa daerah khususnya Jelebu dan awal tahun 2022 membabitkan Tampin, Jempol dan Kuala Pilah. Banjir luar biasa ketika itu di Negeri Sembilan melibatkan 96 lokasi keseluruhannya.

“Kejadian banjir ini bukan sahaja menyebabkan kemusnahan tempat tinggal, kehilangan harta malah mengakibatkan banyak infrastruktur yang dibina  sebelum ini musnah. Terdapat kawasan putus  hubungan jalan darat dan komunikasi iaitu tidak mendapat liputan internet disebabkan bekalan elektrik tidak berfungsi pada menara sedia ada.

“Kerajaan Negeri berpandangan NeSCOM ini merupakan nilai tambah kepada pelan bencana yang ada di seluruh negara. Maklumat yang cepat dan tepat bukan sahaja dapat membantu masyarakat  tetapi juga kepada pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan bangunan NeSCOM yang terletak di Jalan Pekeliling di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, peruntukan sejumlah RM350,000 telah diluluskan di bawah Bajet Pembangunan Tahun 2022 bagi menaik taraf bangunan sedia ada yang dahulunya merupakan Rumah Kelab Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk dijadikan pusat operasi berkenaan.

“Projek ini mengambil masa kira-kira 16  minggu dan telah siap sepenuhnya pada awal Disember 2022,” jelasnya.

AMINUDDIN Harun (kiri) menyerahkan bot penyelamat sumbangan kerajaan Negeri Sembilan kepada pihak JBPM Negeri Sembilan pada majlis perasmian NeSCOM di Jalan Pekeliling, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Menteri Besar turut menyerahkan tiga buah bot penyelamat sumbangan kerajaan negeri kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan bagi mengukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.-UTUSAN.

The post Negeri Sembilan wujudkan pusat operasi, koordinasi hadapi bencana appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*