Nekad padam ‘api marak’, Pak John berjaya perluas empayar

PETALING JAYA – Menceburi bidang perniagaan dan makanan (F&B) sememangnya memerlukan satu daya kesungguhan, ketekunan, komitmen dan juga pengorbanan masa serta wang ringgit yang banyak untuk membolehkan ia terus meniti kejayaan.

Jika diuruskan dengan sikap sambil lewa atau separuh masa, lama-kelamaan perniagaan yang diusahakan pasti menimbulkan seribu satu masalah hingga boleh menjejaskan masalah kewangan.

Mengelak kerugian berterusan yang diibaratkan anak muda berusia 41 tahun, Chong Chong Sung sebagai ‘api marak’ melanda dua rangkaian perniagaannya yang berupa kios dan restoran di dua buah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, keputusan segera perlu diambil untuk memadamkannya.

Pengasas jenama Pak John BBQ, Dim Sum & Steamboat (Pak John) milik syarikat PT Group Sdn. Bhd. bersama beberapa lagi saudara sepupunya itu terpaksa membuat satu keputusan drastik selepas melabur kira-kira RM2 juta dalam perniagaan yang diusahakan sejak tahun 2008.

Ketika itu, perniagaan menjual yong tau fu mencatat permintaan yang baik daripada peminat makanan tersebut selain mendapat sokongan bekalan daripada saudara lain yang terlibat dalam bidang pemborongan makanan sejuk beku yang memiliki status halal di Selayang sebelum ini.

Pada fasa awal perniagaan, kedua-dua cawangan tersebut berjalan lancar sehingga mereka mendapat tawaran untuk membuka cawangan ketiga di pusat beli-belah e-Curve.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama kerana bahang masalah mula meledak selepas pengoperasian perniagaan diserahkan kepada kakita­ngan memandangkan Chong Sung lebih tertumpu kepada pekerjaan lain.

Hanya bertindak sebagai pelabur dan mengambil sikap tidak mengambil tahu secara serius sehingga melepaskan segala tanggungjawab kepada orang lain membuatkan perniagaan tersebut timbul pelbagai masalah sedikit demi sedikit.

“Bukan mudah sebenarnya menguruskan dua buah cawa­ngan tanpa komitmen yang tinggi terhadap outlet-outlet tersebut kerana ia melibatkan banyak aspek.

“Sebenarnya perniagaan F&B memerlukan satu permuafakatan kerja berkumpulan daripada pengurusan kanan hingga kepada pekerja bawahan dan juga dapur,” katanya ketika ditemui di salah sebuah cawangan restoran Pak John di pusat beli-belah di sini baru-baru ini.

Nekad anak sulung yang ­berasal dari Selayang itu untuk bangkit semula dengan memberi tum­puan kepada cawangan terbaharunya di pusat beli-belah e-Curve pada tahun 2013.

“Memang sukar untuk membuat keputusan tersebut ke­rana ia banyak meninggalkan memori dalam hidup kami selain mengorbankan pelaburan, masa dan pelbagai lagi. Kami rasakan ia tidak berbaloi.

“Kami berasa tidak puas hati kerana gagal dalam perniagaan ini sedangkan orang lain yang turut berniaga dalam bidang yang sama terus membina kejayaan, jadi kami bangkit semula untuk ‘menebus’ kesilapan dahulu untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada cawangan di e-Curve,” jelasnya.

Bermodalkan RM1 juta, Chong Sung nekad membuka semula cawangan baharu itu dengan bantuan daripada saudara sepupunya.

Usahawan ini memberi tumpuan sepenuhnya dengan membangunkan model perniagaan yang lebih teratur dari aspek kawalan kualiti, kakitangan, pe­ngurusan di dapur, menu, pentadbiran perniagaan dan per­khidmatan mesra pelanggan.

Saban hari beliau mempelajari banyak perkara, menambah baik pengoperasian perniagaan sehingga terlibat sama dalam urusan temu duga pekerja baharu yang memberi pengalaman menarik untuk dirinya mengemudikan empayar perniagaan untuk jangka masa panjang.

Melalui sokongan daripada 16 pekerja, mereka bekerja sebagai satu pasukan dengan menawarkan menu makanan stimbot yang menyediakan kira-kira 120 jenis pembuka selera, minuman, pemanis mulut, makanan sampingan lain, dim sum dan stimbot yang disajikan dengan pelbagai jenis sambal mengikut selera pelanggan.

Berkonsepkan bufet, pelanggan dikenakan kadar bayaran se­rendah RM53.90 seorang sehingga RM73.90 bagi dewasa pada cuti hujung minggu, manakala pakej untuk warga emas dan kanak-kanak juga ditawarkan pada harga berpatutan membuatkan jenama Pak John sema­kin dikenali.

Langkah kanan Chong Sung semakin menjadi kini dan pe­ngalaman bangkit semula digunakan sebaiknya lantas mengorak langkah membuka cawangan kedua­nya di pusat beli-belah di IOI Mall Putrajaya pada 2017 sete­rusnya ke pusat beli-belah AEON di Shah Alam.

Bagaimanapun dalam tempoh pandemik lalu, pusat beli-belah e-Curve yang terpaksa menjalani proses pengubahsuaian baharu sehingga semua lot di situ terpaksa dikosongkan menyebabkan restoran yang banyak me­ninggalkan kenangan manis dan pahit buatnya terpaksa dipindahkan ke pusat beli-belah Tropicana Gardens Mall.

Selain itu, syarikat turut memiliki dua lagi cawangan masing-masing di Great Eastern Mall Ampang dan di AEON Mall Kota Bharu, Kelantan yang dikendalikan melalui konsep francais.
Kini, kaedah perniagaan tersebut diteruskan untuk pembukaan restoran terbaharunya di di KLCC pada tahun ini dan sete­rusnya ke sebuah pusat beli-belah utama di Melaka.

“Kami teruja dengan pembukaan restoran baharu ini kerana ia bakal mengukuhkan lagi jenama Pak John selain memberi peluang mengetengahkan restorannya kepada pelancong luar negara,” jelasnya.

Graduan arkitek dan pernah bekerja dalam sektor pembinaan itu berkata, bidang F&B diibaratkan seperti berniaga dalam bidang fesyen kerana selera pe­langgan berubah mengikut trend dan perubahan semasa.

Setiap outlet restoran perlu melalui fasa penambahbaikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun sekali mengikut lokasi premis, sehubungan itu beliau sedang merangka pelan pembaharuan untuk restoran di Putrajaya.

“Premis yang memiliki konsep minimalis, moden yang bersesuaian dengan tema dan sinonim dengan media sosial semakin menjadi pilihan masyarakat masa kini.

“Namun, menikmati stimbot bersama keluarga, berbual bersama rakan sepejabat atau menganjurkan majlis reunion menjadikan restoran Pak John sentiasa menjadi pilihan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

The post Nekad padam ‘api marak’, Pak John berjaya perluas empayar appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*