New York benarkan pengkomposan mayat manusia

NEW YORK: New York menjadi negeri terbaharu di Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan pengkomposan mayat manusia.

Lapor BBC, penduduk di negeri itu kini boleh mengubah mayat mereka menjadi tanah selepas kematian mereka, yang dilihat sebagai alternatif mesra alam kepada pengebumian atau pembakaran mayat.

Kaedah yang juga dikenali sebagai pengurangan organik semula jadi itu menyaksikan badan mereput selama beberapa minggu selepas ditutup dalam bekas.

Pada tahun 2019, Washington adalah negeri AS pertama yang menghalalkannya, diikuti Colorado, Oregon, Vermont dan California.

New York menjadi bidang kuasa AS keenam yang membenarkan pengkomposan manusia, selepas menerima setem kelulusan Sabtu lalu daripada Gabenor Demokrat, Kathy Hochul.

Proses berkenaan akan berlaku di kemudahan atas tanah khas selepas mayat dimasukkan ke dalam bekas tertutup bersama bahan terpilih seperti serpihan kayu, alfalfa serta rumput jerami, dan secara beransur-ansur hancur di bawah tindakan mikrob.

Selepas tempoh kira-kira sebulan dan proses pemanasan untuk membunuh sebarang jangkitan, waris akan menerima tanah yang terhasil untuk digunakan dalam menanam bunga, sayur-sayuran atau pokok.

Sebuah firma AS, Recompose berkata, perkhidmatannya boleh menjimatkan satu tan karbon berbanding pembakaran mayat atau pengebumian tradisional.

Penyokong pengkomposan manusia berkata, cara berkenaan merupakan pilihan lain untuk menjaga alam sekitar dan lebih praktikal di bandar-bandar di mana kawasan untuk tanah perkuburan adalah terhad.

Bagaimanapun Paderi Katolik di New York dilaporkan menentang undang-undang itu, menegaskan tubuh manusia tidak seharusnya dilayan seperti ‘sisa isi rumah’.

The post New York benarkan pengkomposan mayat manusia appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*