LONDON: Neymar dilaporkan memberi amaran kepada rakan-rakannya dari Brazil di Real Madrid mengenai Kylian Mbappe.
Mbappe dan Neymar adalah rakan sepasukan di Paris Saint-Germain (PSG) dari 2017 hingga 2023.
Dalam tempoh itu, mereka bermain dalam 136 perlawanan bersama dan memenangi empat gelaran Ligue 1.
Namun, terdapat laporan mendakwa Neymar menggambarkan bermain dengan Mbappe sebagai ‘neraka’ dan ‘malapetaka’.
Kedua-dua mereka membentuk trio serangan bersama Lionel Messi selama dua musim tetapi Neymar dilaporkan tidak mempunyai kenangan manis bermain bersama Mbappe.
Mbappe meninggalkan PSG pada musim panas lalu untuk menyertai Real Madrid dan sudah menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan untuk kelab baharunya.
Bagaimanapun, Neymar yang kini menyarung jersi Al-Hilal dilaporkan memberi amaran kepada pemain-pemain Brazil di Real tentang apa yang perlu dihadapi mereka apabila bermain bersama Mbappe.
Wartawan, Cyril Hanouna memberitahu Neymar menghubungi pemain-pemain Brazil di Real tentang Mbappe.
Bercakap kepada Europe 1, Hanouna berkata: “Pemain Brazil (di Real Madrid) adalah rakan Neymar.
“Sentiasa ada perseteruan antara Neymar dan Mbappe. Neymar menghantar maklumat tentang Mbappe kepada pemain Brazil, memberitahu mereka bahawa ia adalah malapetaka, bahawa ia adalah neraka,” katanya.
Real dibarisi sekumpulan pemain kelahiran Brazil termasuk Eder Militao, Vinicius Junior, Rodrygo, dan Endrick.
Real kini berada di tempat ketiga dalam saingan La Liga selepas mengutip 11 mata daripada lima perlawanan pertama mereka.
Vinicius Junior dan Mbappe menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 di tempat lawan ke atas Real Sociedad hujung minggu lalu, dengan Mbappe menjaringkan gol penalti.
sumber: BH
Neymar pula ketika ini masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ligamen cruciate (ACL) yang memaksanya berehat sejak tahun lalu, tetapi semakin hampir untuk kembali beraksi. – AGENSI