Nilai runcit industri vape meningkat kepada RM2.49 bilion

PETALING JAYA: Nilai runcit industri vape meningkat sebanyak 9.6 peratus kepada RM2.49 bilion tahun lalu daripada RM2.27 bilion pada 2019, menurut Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM).

Dewan perniagaan itu berkata, data yang diperolehi bagaimanapun menunjukkan bilangan kedai vape telah menurun daripada 3,000 kepada 2,250 berkemungkinan disebabkan situai pandemik dalam beberapa tahun lalu yang mengakibatkan banyak kedai vape gulung tikar.

Katanya, penemuan itu juga menunjukkan bahawa industri telah memperluaskan saluran jualan dengan produk vape kini turut dijual di kedai-kedai runcit am, dianggarkan berjumlah 7,500 kedai.

“Berdasarkan anggaran terkini DPVM, bilangan pengeluar dianggarkan berjumlah 200 orang, manakala bilangan pengimport meningkat kepada 100.

“Sehubungan itu, DPVM turut menganggarkan industri vape kini telah menyediakan pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada 31,500 pekerja yang terlibat dalam industri vape,” katanya dalam kenyataan.

Setiausaha Agung DPVM, Ridhwan Rosli berkata, penemuan itu adalah petunjuk jelas tentang potensi kukuh dan daya tahan industri walaupun terkesan ekoran pandemik.

Kata beliau, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk ramai rakyat Malaysia, industri vape juga telah berkembang untuk mengukuhkan ekosistem PKSnya serta menarik lebih banyak pelaburan.

Industri itu juga katanya, bersedia untuk menyumbang hasil yang besar kepada negara, dengan penganalisis ekonomi menganggarkan bahawa kerajaan boleh mengutip sehingga RM1 bilion hasil cukai eksais daripada industri sebaik peraturan bermula serta memberikan keyakinan kepada pelabur untuk mencurahkan lebih banyak pelaburan domestik dan asing.

“Kami juga menganggarkan jumlah pengguna vape di Malaysia meningkat kepada antara 1.4 hingga 1.5 juta pengguna kerana data awal menunjukkan jumlah jualan produk vape di pasaran meningkat. Ini menambah kepada keperluan peraturan dengan segera untuk memastikan pengguna vape di Malaysia mempunyai akses kepada produk yang dikawal selia dengan standard kualiti dan keselamatan,” katanya. – UTUSAN

The post Nilai runcit industri vape meningkat kepada RM2.49 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*