“Orang Pesan, Jangan Pakai Baju Kuning, Betul Ke?”, Mak Ayah Kena Tahu, Ini Puncanya Bayi Kena Demam Kuning

“Demam Kuning Ini Bahaya Pada Bayi Ke?” Ikuti Perkongsian Dari Doktor

Bagi ibu bapa yang baru menyambut cahaya mata, salah satu dugaan awal yang perlu dihadapi oleh mereka adalah bayi terkena demam kuning.

Persoalannya, demam kuning itu apa dan bagaimana bayi yang baru lahir boleh terkenan demam ini? Adakah benar bayi terkena demam kuning sebab dibiar berada berdekatan dengan warna kuning, misalnya baju?

Untuk menjawab persoalan ini, seorang doktor perubatan yang dikenali dengan nama Dr. Samhan telah berkongsi fakta-fakta menarik mengenai penyakit demam kuning atau jaundice menerusi Twitternya.

Ikutilah perkongsian daripada beliau:

“Doktor, saya beli baju kuning untuk anak saya. Orang tua-tua pesan bayi jangan pakai baju kuning nanti kuning makin tinggi. Betul ke?”

“Erm..”

“Kalau kuning makin tinggi, seeloknya jemur bayi bawah matahari atau pakai bengkung. Ada juga yang pesan mandikan bayi dengan air ginseng la, air bunga la, air anggur hitam la, air rebusan peria hantu la. Betul ke?”

“Baik puan, saya terangkan bagaimana anak puan jadi kuning”

Bayi yang baru lahir kebiasaannya akan mengalami kuning atau juga dikenali sebagai “jaundice”. Itu normal!

Kebanyakan kes, bayi boleh pulih dengan sendirinya, tanpa apa-apa rawatan. Akan tetapi, ada bayi yang mengalami kuning yang teruk sehingga memerlukan rawatan hospital.

Tanda-tanda Jaundice ini biasanya jelas kelihatan antara hari kedua dan hari keempat selepas kelahiran. Kebiasaannya, kita akan mengesan Jaundice buat kali pertama kali menerusi wajah bayi.

Jika keadaan berterusan, kita mungkin dapat melihat warna kuning pada mata, dada, perut, lengan dan kakinya.

Apa punca kuning?

Kuning atau “Jaundice” adalah disebabkan kehadiran pigmen BILIRUBIN secara berlebihan dalam darah manusia.

Pigmen ini akan mendap ke dalam kulit dan memberikan warna kekuningan pada bayi. Pigmen ini juga merupakan hasil pemecahan sel darah merah bayi.

Kenapa sel darah merah bayi pecah?

Semasa berada di dalam rahim, darah bayi dan ibu berhubung melalui placenta atau lebih sinonim dipanggil uri. Sel darah merah bayi pada masa tersebut hanya sesuai untuk kegunaan anggota badan sewaktu berada di dalam rahim.

Selepas dilahirkan, penukaran sel darah merah perlu berlaku bagi memastikan kandungan oksigen yang dibawa sel-sel darah merah tersebut mencukupi.

Penukaran sel-sel ini melibatkan proses pemecahan sel darah merah bayi tersebut dan proses ini dipanggil sebagai HEMOLISIS.

Seterusnya, kasil pecahan sel darah merah itu menghasilkan bilirubin, seperti yang dinyatakan sebelum ini. Kandungan bilirubin yang banyak dalam darah akan menyebabkan kulit berwarna kuning.

Proses ini akan berterusan sehingga mencapai kemuncak iaitu, pada hari kelima bayi dan warna kulit kekuningan tersebut semakin berkurang dari semasa ke semasa. 

Kenapa ada sesetengah bayi yang masih memiliki kulit kekuningan dan tidak surut?

Bilirubin akan diproses di HATI dan disingkirkan melalui proses perkumuhan dan penyahtinjaan. Secara mudah, kita bahagikan penyebab kulit kuning tinggi kepada tiga jenis:

1.  Penghasilan Bilirubin berlebihan

Hal ini disebabkan, pemecahan sel darah merah bayi secara keterlaluan dan kes ini kebiasaannya berlaku kepada bayi milik ibu yang berdarah O

Selain itu, ibu berdarah jenis rhesus negatif, bayi menghidapi G6PD (sejenis masalah kekurangan enzim dalam sel darah merah) atau jangkitan yang membuatkan sel darah merah bayi pecah terlalu banyak juga menyebabkan kandungan bilirubin berlebihan.

2.Kegagalan Hati Memproses Bilirubin

Hati bayi tidak sematang hati seperti orang dewasa. Jika si ibu mengambil suplemen ataupun jamu, ia akan pergi ke hati bayi menerusi   susu ibu dan menyebabkan hati bayi bengkak.

Ini mengurangkan fungsi hati dan menyebabkan ‘kekuningan’ semakin sukar untuk disingkirkan. Apatah lagi, jika bayi tersebut diberikan ubat-ubatan atau suplemen secara terus tanpa sebarang konsultasi dari pihak bertauliah.

3. Bayi kurang membuang air besar dan kecil

Apabila susu kurang diberikan kepada bayi, bayi anda akan membuang air kecil dan besar secara tidak kerap. Maka, kandungan bilirubin dalam badan semakin susah untuk disingkirkan.

Secara logiknya, jika kita kurang mengambil makanan dan minuman, bahan buangan badan kita juga akan menjadi berkurangan.

Kalau ‘kuning sangat’, maksudnya sangat bahayalah kan? 

Bahaya! Pigmen bilirubin yang tinggi akan pergi ke bahagian kepala dan menembusi selaput otak bayi yang tidak matang, lantas menyebabkan keradangan pada otak serta saraf tunjang.

Perkara ini akan menyebabkan bayi anda berpotensi untuk TERENCAT AKAL kelak serta juga PEKAK! Inilah sebab mengapa penyakit kuning ini perlu dirawat dengan betul.

Apa rawatan yang sepatutnya untuk penyatkit kuning ini? 

Teruskan penyusuan secara kerap iaitu satu hingga dua jam sekali dan JANGAN AMBIL APA-APA suplemen, jamu atau ubat tanpa nasihat doktor.

Ini membantu penyingkiran pigmen bilirubin melalui air kencing dan najis. Secara tingkasnya, fototerapi dapat memudahkan tugas hati dalam metabolisma bilirubin.

Jika kuning terlampau tinggi, penukaran darah (exchange transfusion) akan dilakukan bagi memastikan pigmen bilirubin tidak mencacatkan otak dan pendengaran bayi.

Kesimpulannya

1. Kerap menyusu setiap 1- 2 jam

2. Jangan makan jamu dan supplemen tanpa nasihat doktor

3. Pastikan bayi kerap berak dan kencing

4. Tak perlu mandikan bayi dengan air herba dan sebagainya

5. Ikut nasihat doktor dan misi untuk pastikan darah bayi sentiasa dibawah photo level.

“Lepas puan dengar penjelasan saya, puan rasa ada kaitan tak bayi jadi kuning kalau pakai baju kuning?”

“Baru faham. Itulah, saya pernah dengar kalau kuning sangat nanti otak pun jadi kuning. Itu yang bimbang”

“Betul. Tapi kalau orang dewasa, tak payah pakai baju kuning pun otak boleh jadi kuning!”

Dr Ahmad Samhan

BACA: Kajian Dapati Mak Ayah Baru Timang Anak Tak Cukup Tidur Enam Bulan Dalam 2 Tahun Pertama

Sumber: @DoktorSamhan via Twitter

The post “Orang Pesan, Jangan Pakai Baju Kuning, Betul Ke?”, Mak Ayah Kena Tahu, Ini Puncanya Bayi Kena Demam Kuning appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*