Pakar masak ‘air tebu hitam’ diberkas bersama 6 kaki ketum

Polis berjaya menumpaskan sindiket penjualan rokok seludup, memasak dan memiliki daun ketum dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Tengah di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, dalam serbuan pada pukul 4 pagi itu, seramai tujuh individu termasuk pemilik pondok berkenaan masing-masing berusia 23 hingga 54 tahun diberkas.

Jelasnya, kegiatan jenayah itu terbongkar susulan hasil maklumat awam yang mendedahkan lelaki berusia 54 tahun yang menjadikan pondok di belakang rumahnya markas memproses ketum serta menjual rokok seludup.

“Intipan dan risikan dilakukan beberapa hari lalu dimana terdapat aktiviti penjualan rokok seludup selain memasak air ketum di pondok terbabit.

“Hasilnya, polis menemui beberapa peralatan memproses air ketum termasuklah sebuah periuk besar, sebuah tong gas memasak, dapur, alat penapis selain air ketum yang sudah siap diproses,”katanya.

Ahmad Zamry berkata, hasil soal siasat ke atas kesemua suspek, mereka mendedahkan pemilik pondok berkenaan yang berusia 54 tahun merupakan pakar memproses air ketum.

Jelasnya, malah mereka menggelarkan lelaki terbabit sebagai cef ‘air tebu hitam’ kerana kualiti serta rasa lebih sedap berbanding yang dijual orang lain.

“Mereka menggunakan istilah ‘air tebu hitam’ sebagai kata kunci kepada kegiatan mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dalam serbuan ini, kita merampas 153 bungkusan air ketum, sebotol plastik hijau 1.5 liter mengandungi air ketum, daun ketum seberat 5.09 kilogram (kg) serta 66 karton rokok pelbagai jenama dan dianggarkan nilai keseluruhan rampas RM10,500 serta menyita wang tunai sebanyak RM127,”katanya.

Kes disiasat mengikut, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Ujarnya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan di tahan reman selama sehari hingga tujuh hari sehingga 6 September untuk siasatan lanjut.

BACA: Rosmah Mansor disabit kesalahan 3 pertuduhan rasuah

Sumber: –KOSMO! ONLINE

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*