Pan-gon kembali ke Malaysia

Kuala Lumpur: Selepas meninggalkan skuad Harimau Malaya bulan lalu, bekas pengendali negara Kim Pan-gon bakal kembali ke bumi Malaysia dengan membawa kelabnya, Ulsan HD menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite.

Berdasarkan undian yang berlangsung di ibu negara hari ini, JDT berdepan ujian sebenar apabila diundi dalam menghadapi tentangan lapan gergasi Asia termasuklah Ulsan HD dari Korea Selatan yang kini dibimbing Pan-gon.

Aksi dengan Ulsan HD itu dijangka berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim termasuk tiga lagi aksi menentang Buriram United (Thailand), Pohang Steelers (Korea Selatan) dan Shanghai Shenhua (China).

Baki empat lagi aksi menyaksikan skuad Harimau Selatan akan bertandang ke gelanggang lawan dengan bertemu Shanghai Port (China), Central Coast Mariners (Australia), Shandong Taishan (China) dan juga Gwangju FC (Korea Selatan).

Undian juga menyaksikan juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu berjaya mengelak daripada bertemu mana-mana wakil Jepun untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan kalah mati.

Aksi peringkat kumpulan ACLE dijadualkan berlangsung pada 16 September 2024 hingga 19 Februari 2025 sebelum aksi pusingan 16 terbaik pada 3 hingga 12 Mac 2025.