Parti Anak Muda, Move Forward Menang Pilihan Raya Thailand

pilihan raya thailand move forward

Parti Anak Muda, Move Forward Menang Pilihan Raya Thailand

Pengundi Thailand telah membuat kejutan apabila keputusan pilihan raya baru-baru ini memihak kepada parti pembangkang, Move Forward.

Menurut BBC, parti politik yang diwakili banyak pemimpin muda itu mengenepikan jangkaan ramai apabila berjaya memenangi 151 daripada 500 buah kerusi.

Jumlah berkenaan adalah 10 kerusi didepan parti popular, Pheu Thai yang diketuai oleh anak perempuan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Penganalisis politik menganggap keputusan ini menggambarkan perubahan signifikan dalam pendapat orang ramai.

Keputusan ini turut menggambarkan penolakan yang jelas terhadap dua parti yang bersekutu dengan tentera dalam kerajaan semasa. Ia juga simbol penolakan terhadap pimpinan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha, yang mengetuai rampasan kuasa dalam menggulingkan kerajaan yang dipilih pada 2014.

Parti gabungan pemerintah dilaporkan hanya memenangi 15 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan.

“Kami akan melakukan apa sahaja untuk menyelasaikan masalah.

“Orang ramai sudah cukup menghadapi macam-macam perkara sejak sedekad yang lalu. Kini, ia merupakan hari yang baru,” kata pemimpin Move Forward, Pita Limjaroenrat memberitahu BBC.

Pheu Thai, parti kedua terbesar di Thailand berkata bahawa pihaknya telah bersetuju untuk bergabung bersama Move Forward serta empat parti pembangkang yang lain.

Melalui gabungan ini, mereka berjaya mendapatkan 60 peratus kerusi di dalam barisan ahli parlimen pada masa yang akan datang.

Namun begitu, jumlah tersebut kelihatan masih belum cukup untuk mengatasi kuasa 250 ahli senat yang dilantik oleh Perdana Menteri sebelum ini.

250 ahli senat yang tidak dipilih menerusi proses pilihan raya ini dibenarkan untuk mengundi di parlimen bagi sesi petadbiran pada masa yang akan datang.

Golongan ini cenderung untuk membangkang agenda Move Forward yang bersifat progresif, khususnya dalam hal pindaan rang undang-undang di negara tersebut.

Halangan Move Forward untuk pentadbiran pada masa yang akan datang

Dalam rundingan politik yang akan datang, ramai rakyat Thai merasa gentar dengan penguasaan tentera dan penyokongnya.  Rata-rata menyuarakan kebimbangan pengaruh ini akan cuba untuk menghalang parti yang menang daripada memegang jawatan.

Sungguhpun rampasan kuasa tentera tidak mungkin berlaku, tetapi terdapat kemungkinan bahawa satu lagi keputusan mahkamah untuk membatalkan kemenangan Move Forward. Sebelum ini, parti pendahulunya, Future Forward dibatalkan kemenangannya pada 2020 atas alasan teknikal.

Persoalan lain adalah sejauh mana Move Forward dan Pheu Thai, yang kadang kalanya tidak bersefahaman boleh bekerjasama dalam satu gabungan.

Pemimpin Move Forward, Pita merupakan seorang graduan Universiti Harvard dan ahli parlimen yang mahir. Namun, beliau masih diuji dengan cabaran untuk menyatukan dan mengekalkan gabungan tersebut sepanjang pemerintahannya.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak menghalang rakyat Thailand daripada mengubah landskap politik negara tersebut pada pagi semalam.

“Majoriti undi melihatkan orang ramai ingin ‘melepaskan’ diri daripada ‘rejim Prayuth’ dan inginkan perubahan.

“Ini menunjukkan bahawa orang ramai kini lebih mempercayai tuntutan Move Forward untuk membawa perubahan, dan lebih ramai daripada jangkaan,” kata Prajak Kongkirati.

Beliau merupakan seorang pakar sains politik daripada Thammasat University.

Dalam pada itu, media sosial Thailand telah dibanjiri dengan mesej-mesej kemenangan daripada penyokong Move Forward. Mereka telah menggambarkan kemenangan parti tersebut sebagai ‘angin perubahan’ dan ‘permulaan era yang baharu’.

Pita turut menulis satu ciapan di Twitter, bahawa dirinya sudah ‘bersedia’ untuk menjadi Perdana Menteri Thailand yang ke-30.

“Kita memiliki harapan dan impian yang sama. Bersama-samalah kita percaya bahawa negara Thailand yang dicintai ini akan menjadi lebih baik. Tidak mustahil untuk membuat perubahan, jika kita bermula berusaha bermula hari ini,” tulisnya.

The post Parti Anak Muda, Move Forward Menang Pilihan Raya Thailand appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*