Pasukan Malaysia bakal mempertaruhkan pemain berpengalaman

Shah Alam: Pasukan Malaysia bakal mempertaruhkan pemain berpengalaman membabitkan bekas tonggak Harimau Malaya untuk menggalas cabaran di Kejohanan Asia 7 sebelah (7s) yang bakal berlangsung 10 hingga 13 Oktober ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama finalis tahun lalu, India bersama Hong Kong dan Filipina sudah pastinya menjanjikan perlawanan menarik di EV Arena, Elmina, dekat sini.

Pengurus pasukan Malaysia, Adam Azman berkata, pihaknya akan cuba menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman seperti Safee Sali dan Nor Norshahrul Idlan Talaha demi memperkuatkan skuad dalam usaha mencapai matlamat berada dalam dua kelompok terbaik.

“Kami akan mengumpul pemain dalam tempoh terdekat ini dengan melantik jurulatih berpengalaman dalam futsal dan bola sepak padang.

“Saya mahu mencuba kerana sekarang ini ramai yang bermain untuk 7s. Kami akan senaraikan pemain muda dan berpengalaman.

“Pada masa sama, kami akan melihat empat atau lima pemain luar membabitkan tonggak veteran atau belia,” katanya ketika ditemui majlis Unida Kejohanan Asia 7s, di sini, sebentar tadi.

Pada majlis undian itu menyaksikan Kumpulan A dibarisi juara bertahan Jepun, Brunei Singapura dan Vietnam.

Sementara itu, Komisioner Kejohanan, Anton del Rosario berkata, penganjuran kejohanan 7s itu menghimpunkan lapan pasukan secara keseluruhan dengan beraksi secara format round-robin.

sumber: HM

“Pada penganjuran lalu menyaksikan penyertaan empat pasukan dengan dimenangi Jepun di Manila, Filipina.

“Sekarang ini, kita mahu memperbesarkan lagi kejohanan ini dengan tambahan empat lagi pasukan,” katanya.