Pearly-Thinaah tersingkir awal Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR – Hari pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 sudah menyaksikan keputusan mengejutkan apabila beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir seawal pusingan pertama.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi, juara Terbuka Perancis tahun lepas itu akur dengan kekalahan straight set 19-21, 14-21 kepada beregu Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva.

Kekalahan itu nyata mengejutkan memandangkan Pearly-Thinaah diletakkan harapan cukup tinggi pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 itu, lebih-lebih lagi turun sebagai pilihan kelapan.

Thinaah mengakui mereka berdepan cabaran cukup besar sepanjang perlawanan tersebut memandangkan pemain lawan memberikan tekanan menerusi serangan-serangan yang cukup agresif.

“Mereka beri tekanan kepada kami dalam set kedua dan serangan-serangan dilakukan sangat agresif sehingga memaksa kami bekerja keras. Selepas ini, kami perlu berikan yang terbaik dalam latihan dan kejohanan akan datang.

“Saya fikir tuah tidak menyebelahi kami pada hari ini. Sudah tentu kami perlu balik dan lihat semula serta lakukan analisis terhadap aksi keseluruhan. Selain itu, kami juga tidak berdepan sebarang masalah kecederaan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, dia juga menegaskan, mereka mahu melupakan kekalahan tersebut dan mengalihkan sepenuh perhatian kepada kejohanan Terbuka India yang akan berlangsung pada 17 hingga 22 Januari nanti.

Sementara itu, beregu campuran, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing memberi sedikit kelegaan kepada kem badminton negara apabila menang 21-11, 15-21, 21-19 ke atas wakil Jepun, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya. – KOSMO! ONLINE

The post Pearly-Thinaah tersingkir awal Terbuka Malaysia appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*