Kuala Lumpur: Belum reda kes tunggakan gaji membabitkan satu pasukan berpangkalan di pantai timur tanah air, kini terdapat pula perkhabaran mengenai kepimpinan tertinggi skuad Liga Super dikenakan tindakan kerana tunggakan caruman pemain mereka.
Menurut sumber, kepimpinan tertinggi pasukan berpangkalan di pantai timur tanah air itu dikatakan gagal untuk menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyebabkan mereka dikenakan tindakan susulan.
Beliau berkata, situasi terbabit bertambah parah apabila pasukan itu berisiko ‘bungkus’ jika didapati gagal menyelesaikan bayaran terbabit dalam tempoh terdekat ini.
“Boleh dikatakan satu persatu masalah ‘menyerang’ pasukan Liga Super ketika ini dengan terbaharu terdapat kepimpinan tertinggi menerima surat membabitkan tindakan undang-undang kerana mempunyai tunggakan caruman pemain.
“Kelab ini belum pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji, namun dengan masalah melanda boleh memberi bayangan bahawa mereka juga akan dilanda ‘badai’ itu kelak,” katanya yang enggan mendedahkan identiti.
Sebelum ini Arena Metro melaporkan isu tunggakan gaji yang melanda pasukan Liga Super malah boleh dikatakan sudah tiba hingga ke peringkat hujung nyawa berikutan ‘penyakit’ itu terus merebak.
sumber: HM
Berdasarkan situasi terkini, terdapat pemain dan pegawai sebuah pasukan di pantai timur dihalau daripada kediaman mereka gara-gara tidak mampu membayar sewa sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC turut dibelenggu masalah tunggakan gaji hingga menyebabkan mereka boikot sesi latihan pasukan.