Pelaksanaan Inisiatif Di Bawah Program Payung Rahmah Bersama Foodpanda Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 MEI 2023 Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup hari ini telah merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama  Foodpanda Malaysia yang diadakan di Ibu Pejabat Korporat foodpanda  Malaysia, Bangsar South, Kuala Lumpur.

Untuk makluman, foodpanda Malaysia akan melaksanakan empat (4) Inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH yang terdiri daripada Menu RAHMAH, Bakul RAHMAH, Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH. 

Dalam menyokong inisiatif Kerajaan untuk meringankan beban ekonomi  dan kos sara hidup rakyat Malaysia, foodpanda Malaysia memainkan  peranannya bagi memastikan pelanggan boleh memesan set hidangan makan  tengah hari atau makan malam Menu RAHMAH daripada aplikasi dan laman  sesawangnya pada harga mampu milik iaitu RM5 atau kurang.

Inisiatif yang dilaksanakan ini, foodpanda bersama-sama berganding  bahu dengan rakan kongsi restoran dalam usaha menawarkan item Menu  RAHMAH untuk dihantar kepada pelanggan. Pelaksanaan inisiatif ini  menjadikan foodpanda Malaysia sebagai platform perintis yang  menawarkan penghantaran Menu RAHMAH di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Malaysia,  Sayantan Das memaklumkan bahawa mereka komited untuk memastikan  pelanggannya boleh memesan pelbagai penawaran Menu RAHMAH pada  semua lokasi di seluruh negara melalui kaedah pesanan yang mudah menerusi aplikasi foodpanda. Kepercayaan dan keyakinan daripada 238 cawangan restoran seperti OldTown White Coffee, Texas Chicken, Lim Fried Chicken, Daporlah dan 16 jenama restoran yang lain turut membantu dalam  meluaskan lagi capaian Menu RAHMAH, dan seterusnya membantu  meringankan beban perbelanjaan harian rakyat Malaysia.

Selaras dengan majlis pada hari ini, foodpanda Malaysia turut komited  menyumbang sebanyak 300 Bakul RAHMAH bernilai RM15,000.00 yang akan  diagihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan kurang  berkemampuan melalui Yayasan RAHMAH Malaysia.

Selain itu, Pandamart iaitu kedai runcit foodpanda turut menawarkan kepada pengguna kemudahan penghantaran barangan runcit terus ke pintu  rumah melalui Inisiatif-Inisiatif Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH dengan  menawarkan produk makanan dan pakej barangan runcit pada harga mampu  milik dengan penjimatan tambahan untuk masa terhad. Pakej RAHMAH oleh Pandamart ini menawarkan dua pakej barangan runcit pada harga RM50.00  dan RM30.00 setiap satu, dengan penjimatan sehingga 25% untuk para  pembeli yang ingin mendapatkan tawaran terbaik semasa membeli-belah untuk  barangan keperluan harian mereka.

Pada masa yang sama, Inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH ini turut memberi manfaat kepada rangkaian rakan penghantaran yang  meluas melalui peningkatan jumlah pesanan dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka. foodpanda Malaysia turut menyatakan komitmen melalui  semua penghantar pesanan mereka bahawa struktur pembayaran akan tetap  sama tidak kira sama ada mereka menghantar semua item yang dijual di bawah  semua inisiatif tersebut atau sebaliknya. Malah, pendapatan mereka bagi setiap  perjalanan tidak akan dikurangkan di bawah pelaksanaan inisiatif ini. 

KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI  dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (cost of living)  dalm situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama,  KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja  dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna

Di bawah Program Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan, disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga. Program Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan.

The post Pelaksanaan Inisiatif Di Bawah Program Payung Rahmah Bersama Foodpanda Malaysia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*