Kuala Lumpur: Penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mendesak agar pengurusan tertinggi kelab segera menyelamatkan pasukan yang kini semakin karam dan kemungkinan bakal hilang daripada radar Liga Malaysia (Liga M).
Situasi itu cukup membimbangkan apabila terdapat ura-ura hampir separuh pemain KDA FC bakal ‘angkat kaki’ pada jendela perpindahan kedua yang sedang dibuka ketika ini.
Difahamkan, rata-rata pemain utama skuad Hijau Kuning termasuk jurulatih sedang dipancing oleh beberapa pasukan ternama Liga M yang mungkin menyaksikan KDA FC bakal kehilangan pemain ketika saingan liga masih panjang.
Berdasarkan klausa kontrak pemain, jika pasukan gagal membayar gaji pemain selama tiga bulan berturut-turut, maka status sebagai ejen bebas boleh diaktifkan dan pemain berkenaan boleh mencari pasukan baharu.
Malah lebih memburukkan keadaan semasa KDA FC adalah apabila kelab itu masih menjalani hukuman sekatan perpindahan pemain yang diputuskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini, sekali gus menghalang skuad Kenari daripada merekrut pemain baharu.
Antara yang meluahkan kebimbangan adalah Presiden Kelab Penyokong Hijau Kuning Negeri Kedah (HKC), Saiful Azrul Che Lah yang berharap isu ini ditangani segera.
“Dah ada contoh seperti pasukan Kelantan FC sebelum ini, apabila ramai pemain senior keluar daripada pasukan selepas tidak dibayar gaji, akhirnya pasukan itu ‘tutup kedai’ sebab tak cukup pemain untuk mengharungi saingan liga.
“Kita tak mahu KDA pula hadapi situasi sama apabila kami dengar macam-macam cerita dan terbaharu ada pemain serta jurulatih yang sedang dipancing kelab lain.
“Walaupun kita ada pemain muda dari skuad bawahan, tetapi pengalaman pemain muda masih cetek dan mereka tak mampu mengharungi Liga Super. Jadi saya harap kelab dapat segera atasi masalah ini,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan kemelut dalaman membabitkan KDA FC makin meruncing apabila difahamkan barisan pemain memboikot sesi latihan pasukan sejak Selasa lalu.
Tindakan memulau sesi latihan diambil sebagai isyarat kepada pihak pengurusan kelab atas kegagalan membayar gaji pemain sejak awal musim ini.
sumber: HM
Jelas Saiful, dia mahu segera meminta bersemuka dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar untuk sama-sama berkongsi pandangan dan idea bagi mencari jalan keluar.
“Saya harap dapat sangat jumpa Tan Sri kerana kami ada cadangan yang boleh bantu kelab.
“Ini harapan kami sebagai penyokong untuk jumpa dan harap kelab dengar,” katanya.