Pemandu lori rogol adik ipar dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

Seorang pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 20 kali sebatan selepas gagal dalam rayuan mengetepikan sabitan atas dua pertuduhan merogol adik iparnya.

Panel Mahkamah Rayuan diketuai hakim Kamaludin Md Said, Nordin Hassan dan Hashim Hamzah, menolak rayuan lelaki itu selepas mendapati ia tidak mempunyai merit.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan lelaki berusia 33 tahun itu untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 15 tahun kepada 10 tahun bagi setiap sabitan.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Kamaludin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat 10 kali terhadap lelaki itu bagi setiap sabitan dan mengarahkan hukuman itu dijalankan secara berturut-turut, menjadikan lelaki itu dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

Sebelum ini mahkamah sesyen pada 3 Julai 2019 mendapati lelaki itu bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan 20 sebatan kerana merogol seorang remaja berusia 14 tahun dalam dua kejadian berasingan dalam sebuah rumah di Pasir Puteh, Kelantan pada Februari 2018 dan 19 April 2018.

Mahkamah sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan dan mengarahkan beliau menjalaninya secara berturut-turut.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, iaitu barang siapa melakukan rogol ke atas seseorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengan perempuan itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Sebelum ini mahkamah tinggi pada 23 Nov tahun lepas juga menolak rayuan lelaki itu.

Mengikut bukti dikemukakan pihak pendakwaan, lelaki tersebut merupakan bekas suami kepada kakak mangsa dan pasangan itu bercerai enam tahun selepas kejadian rogol itu dilaporkan kepada polis.

Dalam penyataan pembelaannya, lelaki itu berkata dia ada bertemu dengan mangsa pada kedua-dua tarikh tersebut namun menafikan telah merogol remaja terbabit.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari, manakala pembelaan diwakili peguam Geethan Ram Vincent dan Eu Kah Mun.

BACA: Takut ditinggalkan, pelajar Tingkatan Dua serah tubuh kepada tukang rumah

Sumber: Bernama

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*