Pemansuhan AUKU Boleh Akibatkan Punca Kuasa Penubuhan 20 IPTA Terbatal

Pemansuhan AUKU

Pemansuhan AUKU Boleh Akibatkan Punca Kuasa Penubuhan 20 IPTA Terbatal

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) boleh mengakibatkan punca kuasa penubuhan dan tadbir urus 20 universiti awam terbatal.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana akta itu ialah punca kuasa yang menghubungkan akauntabiliti institusi pengajian tinggi (IPT) kepada kerajaan dan masyarakat.

“Berdasarkan struktur dan kandungannya, AUKU adalah akta yang sangat penting dan masih relevan khususnya dalam urusan penubuhan dan pentadbiran universiti,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, AUKU setakat ini telah dipinda sebanyak tujuh kali dengan pindaan terakhir pada 2019, manakala dalam aspek kebebasan serta aktivisme politik pelajar, pindaan dilakukan dua kali iaitu pada 2012 dan 2019.

Beliau berkata ia antara lain memberikan kebebasan penuh kepada mahasiswa untuk berpolitik sama ada di dalam dan luar kampus.

Sementara itu, katanya susulan terdapat banyak permintaan untuk sesi libat urus diadakan berhubung isu itu, kementerian bersetuju untuk menjalankan sesi berkenaan.

Mohamed Khaled berkata hal ini berikutan tujuh daripada 44 seksyen akta berkenaan ialah mengenai pelajar, maka sesi libat urus harus melibatkan antaranya pentadbiran universiti, ahli akademik, penyelidik, Majlis Profesor Negara, wakil ibu bapa dan industri.

“KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) sebenarnya tidak pernah menolak saranan penambahbaikan oleh semua pihak, malah KPT kini dalam proses meminda Seksyen 15 AUKU bagi membolehkan mahasiswa menguruskan sendiri urusan akaun dan kewangan mereka,” katanya.

Menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta penjelasan sama ada undang-undang baharu boleh diwujudkan memandangkan AUKU telah berusia lebih 50 tahun, Mohamed Khaled berkata kementerian tidak akan mengganti sesuatu akta disebabkan akta itu sudah lama.

“Akta itu diwujudkan bukan untuk menyekat pelajar tetapi dari segi sejarah, ia diwujudkan kerana kerajaan mempunyai perancangan untuk mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Sekarang kita sudah ada 20 universiti (awam). Kalau tak ada AUKU, kita kena buat satu universiti satu akta sebab ia memerlukan punca kuasa. Kita tak nak akhirnya nak ubah AUKU tapi hanya salin kulit, dalamnya sama,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata KPT sedang membentuk jawatankuasa khas terdiri daripada tokoh berpengalaman dalam pendidikan tinggi iaitu National Review Commitee (NRC) bagi menyemak semua dasar pendidikan tinggi nasional.

Katanya, jawatankuasa itu diberikan tempoh tiga bulan untuk mengemukakan dapatan dan saranan penambahbaikan yang akan dijadikan asas untuk memperkemas, merombak dan menyusun semula hala tuju dan keutamaan sektor pendidikan tinggi negara.

Sumber: BERNAMA

The post Pemansuhan AUKU Boleh Akibatkan Punca Kuasa Penubuhan 20 IPTA Terbatal appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*