Pembantu ahli Parlimen diarah keluar kerana tak patuh etika pakaian

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kepada ahli Parlimen DAP dari Sarawak diarahkan keluar dari bangunan Parlimen kerana tidak mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan. 

Wanita yang tidak didedahkan namanya itu adalah pembantu yang berkhidmat dengan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen yang sedang menghadiri mesyuarat Parlimen di Dewan Rakyat hari ini. 

Lee Wuen merupakan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY). 

Ketika kejadian, ahli Parlimen itu berada di dalam Dewan Rakyat. 

Pembantu berkenaan dilihat memakai sut dengan skirt paras lutut yang terbelah sehingga mendedahkan paha kirinya.

Wanita itu diberi pilihan jika mahu kekal berada dalam bangunan Parlimen dengan menukar cara pemakaiannya. 

Utusan Malaysia dan pemberita lain kebetulan berada di ruang legar bangunan Parlimen menyaksikan sendiri bagaimana seorang lelaki yang merupakan ketua bahagian keselamatan yang tidak dinamakan menghalau wanita itu dengan nada tegas. 

Pegawai itu bagaimanapun menegur wanita tersebut terlebih dahulu mengenai kod pemakaian yang sepatutnya diikuti sebelum menghalaunya dalam masa yang berlaku dengan pantas. 

Wanita yang difahamkan pertama kali hadir ke Parlimen itu kemudian akur dan beredar. 

Tiada sebarang rakaman gambar wanita berkenaan akibat pergerakan petugas media yang terhad di Parlimen. 

Parlimen mengenakan syarat bagi pelawat wanita antaranya memakai lounge suit, kemeja lengan panjang dipadankan dengan seluar panjang, skirt di bawah paras lutut atau skirt labuh.  – UTUSAN

The post Pembantu ahli Parlimen diarah keluar kerana tak patuh etika pakaian appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*