Pembantu penguat kuasa veterinar dituduh minta, terima rasuah RM35,000

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu penguat kuasa veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tahun lalu.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat bekas pekerja Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, Abol As Mohd. Jamil, 43, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan fakta kes pertama, tertuduh didakwa meminta suapan RM35,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan menurunkan seksyen pertuduhan bagi kes yang dijalankan di Mahkamah Sesyen.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah telah menerima suapan RM35,000  daripada mangsa yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus dekat sini pada 27 Julai dan 3 Ogos 2022.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan pada 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan dan menyerahkan pasportnya kepada SPRM Terengganu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hazwan Hamidun. – UTUSAN

The post Pembantu penguat kuasa veterinar dituduh minta, terima rasuah RM35,000 appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*