Peminat harap pengadil tak cetus kontroversi

KUALA LUMPUR: Pengadil diharap dapat menampilkan mutu pengadilan terbaik dan mengelak daripada membuat keputusan kontroversi dalam aksi final Piala FA yang dijangka ‘panas’, malam ini.

Muhammad Nazmi Nasaruddin bakal mengetuai barisan pengadil bagi aksi final yang akan menemukan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid menjelaskan pihaknya berharap barisan pengadil yang mengadili perlawanan itu dapat membuat keputusan yang tepat dan adil.

Dia berkata, penggunaan video bantuan pengadil (VAR) juga diharap dapat mengelak sebarang keputusan kontroversi daripada pengadil sepanjang perlawanan.

“Kami harapkan pengadil membuat segala keputusan yang tepat. Malah, sekarang ini pun pengadil Liga Malaysia sudah dibantu dengan VAR dalam membuat keputusan.

“Final kali ini berbeza dan juga satu sejarah yang mana buat kali pertama pentas akhir guna VAR walaupun ia sudah digunakan dalam perlawanan biasa sebelum ini.

“Pengadil berpengalaman dan dibantu dengan VAR, kami harap ia dapat mengelak daripada berlaku keputusan kontroversi daripada pengadil. Ia kerana setiap keputusan pengadil, satu Malaysia akan menonton,” katanya kepada BH Sukan.

sumber: BH

Mutu pengadilan dalam Liga Malaysia tetap menjadi antara topik tumpuan meskipun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah melaksanakan penggunaan VAR bermula musim ini.

Tugas besar menanti Nazmi bersama barisan pembantunya untuk memastikan perlawanan JDT dan Selangor berlangsung dengan lancar.