Pemuda Dan Puteri UMNO Bedah Siasat Kekalahan Parti Pada PRU15

umno bedah siasat kekalahan parti pru15

Pemuda Dan Puteri UMNO Bedah Siasat Kekalahan Parti Pada PRU15

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri akan membuat bedah siasat mengenai kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata bagi tujuan tersebut, sayap itu telah menubuhkan satu pasukan yang diketuai Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Ketika menggulung ucapan dasarnya pada persidangan Pemuda UMNO, Asyraf berkata parti itu memerlukan pendekatan baharu yang terperinci dan holisitik untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“… dah tinggal 30 pun kita masih bercakaran sesama sendiri. Generasi pemuda bangkit kembali jangan taksub kepada individu, jangan taksub kepada ‘tauke-tauke’. Jangan takut, jatuh bangun parti kita, di tangan kita, kesetiaan kita kepada parti UMNO sahaja. Soal kita untuk menang PRU16 dan PRN, bergantung pada tingkah kita,” katanya.

Sementara itu ketika menggulung perbahasan Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan berkata sayap itu akan mengadakan post-mortem khusus bertujuan mengkaji faktor sebenar penyebab anak muda tidak bersama parti tersebut pada PRU lepas bagi memastikan Puteri UMNO terus relevan kepada golongan itu.

“Kita tak boleh gunakan konsep atau kaedah yang sama…kita jangan hanya salah menyalahkan antara satu sama lain tetapi kita lebih kepada sama-sama mencari solusi bagaimana nak meyakinkan orang muda di luar sana kembali bersama kita dalam PRU16,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata media sosial UMNO perlu diambil berat, diperkasa dan sepatutnya menjadi perkhidmatan teras serta dijadikan satu pasukan petugas yang penting kepada parti.

Menurut Zahida, Puteri UMNO meminta kepimpinan parti untuk menyediakan satu badan atau dana khusus secara konsisten bagi memastikan media sosial parti itu bukan sekadar untuk ‘melepaskan batuk di tangga’ tetapi mesti dilaksanakan di semua peringkat.

“Media sosial mesti kita perkasakan, kita tidak boleh lagi ketinggalan di media sosial. Kita reform media sosial yang sedia ada, kita kena fokus dan segmentasikan vitaliti di media sosial terus kepada kumpulan sasar, bukan lagi secara rawak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad mahu pucuk pimpinan parti supaya meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai calon pada enam PRN selepas angka itu tidak dicapai pada PRU15.

Mengakui permintaan itu bukan sesuatu yang baharu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong ketika menggulung perbahasan berkata UMNO mempunyai ramai individu yang berkelayakan dengan pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya untuk dinamakan sebagai calon.

“Pada PRN Johor calon wanita hanya 25 peratus, kita akan tetap perjuangkan perkara ini secara konsisten. Kita mahu wakil Wanita yang akan ke Perhimpunan Agung UMNO supaya memberi tekanan kepada kepimpinan parti,” katanya.

The post Pemuda Dan Puteri UMNO Bedah Siasat Kekalahan Parti Pada PRU15 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*