Penceramah bebas punyai 3 isteri didakwa merogol remaja dalam Vellfire, di hadapan surau & dalam hotel

Penceramah bebas, Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, yang didakwa atas pertuduhan merogol, melakukan amang seksual dan hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja, mengaku tidak bersalah.

Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini.

Tertuduh yang mempunyai tiga isteri didakwa atas tujuh pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang kini berusia 14 tahun mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Bapa kepada lapan anak itu juga menghadapi tuduhan amang seksual terhadap mangsa sama di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kedua-dua seksyan berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Fathi turut dituduh melakukan hubungan seks dengan objek ke atas mangsa sama mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun, serta sebatan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kenderaan Toyota Vellfire di kawasan parkir, di hadapan sebuah surau dan dalam sebuah hotel di Bandar Puncak Alam antara Jun 2021 hingga Februari 2022.

Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain meminta tertuduh dilarang mendekati dan menghubungi mangsa secara fizikal atau komunikasi lain.

Tertuduh yang diwakili peguam Samry Masri bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya memerlukan perbelanjaan untuk merawat penyakit slip disc.

“Anak guam saya mempunyai tiga isteri dan lapan anak berusia setahun hingga 11 tahun yang memerlukan perhatian daripada tertuduh. Selain itu, dia turut menanggung ibu bapanya berusia 66 dan 68 tahun.

“Sebelum ditangkap, pekerjaan utamanya adalah penceramah bebas. Namun selepas kes viral telah menyebabkan kehilangan punca pendapatan,” katanya.

Hakim Syafeera menetapkan tertuduh boleh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan, malah tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Tertuduh membayar jaminan tersebut dan kes disebut semula pada 10 Januari depan.

BACA: (Video) Kemahiran tahap ‘dewa’, pemandu lori dipuji elak nahas

Sumber: Kosmo Online

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*