Pengadil Bolivia Digantung Tugas, Bagi Masa Tambahan Sampai 42 Minit

pengadil bolivia masa tambahan

Pengadil Bolivia Digantung Tugas, Bagi Masa Tambahan Sampai 42 Minit

Seorang pengadil bola sepak di Bolivia telah digantung tugas selepas memberikan masa tambahan sehingga 42 minit baru-baru ini.

Keputusan itu dibuat oleh pengadil, Julio Fernando Gutierrez ketika mengadili aksi liga tempatan di antara Atletico Palmaflor dan Blooming.

Difahamkan, perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan 3-2, memihak kepada Palmaflor. Tuan rumah mendahului saingan dengan 2-0 sebelum tambahan masa luar biasa hampir menyaksikan pasukan pelawat melakukan kebangkitan.

Menurut Sportbible, Gutierrez dan lima pembantunya mengambil masa terlalu lama untuk membuat sesuatu keputusan. Ia termasuklah 17 minit masa yang diambil untuk mengesahkan gol pertama Blooming yang dijaringkan pada minit ke-86. Gol itu kemudian diberikan, namun masa yang terbuang tidak berhenti di situ sahaja.

Walaupun banyak masa digunakan untuk membuat keputusan, pemerhati berpendapat masa tambahan yang mungkin diberikan tidak akan lebih daripada 20 minit.

Masa tambahan macam separuh masa ketiga, pengadil Bolivia digantung tugas

Namun begitu, ia tidak berlaku. Gutierrez kemudian membenarkan perlawanan berjalan lebih daripada 20 minit selepas masa perlawanan sebenar tamat. Blooming kemudian berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-24 masa tambahan.

Insiden panas kemudian tercetus menyaksikan Palmaflor dan Blooming masing-masing kehilangan seorang pemain menerusi layangan kad merah. Situasi tersebut menyaksikan sekali lagi perlawanan terhenti.

Perlawanan kemudian diteruskan sehinggalah pada minit ke-38 masa tambahan, Palmaflor berjaya mendapat gol kemenangan mereka.

Walaupun berjaya mencatatkan kemenangan pada minit-minit akhir masa tambahan, wakil Palmaflor menggesa keputusan yang dibuat oleh Gutierrez disiasat.

Gesa keputusan dibuat pengadil disiasat

”Kami gembira dengan kemenangan ini, walaupun keputusan yang dibuat oleh pengadil agak mencurigakan.

”Kami memohon maaf tentang perkara itu dan menggesa apa yang berlaku (keputusan Gutierrez) disiasat. Setakat ini, kami tidak mahu menganggap keputusan itu dibuat kerana mereka mahu melihat kami kalah,” kata wakil tersebut.

Terdahulu, peminat bola sepak mula menyaksikan masa tambahan yang lebih panjang diberikan sejak peraturan tersebut diperkenalkan di Piala Dunia Qatar.

Pengadil-pengadil dalam kejohanan tersebut dilihat memberikan masa tambahan rata-rata melebihi 10 minit bagi setiap perlawanan.

Menurut FIFA, masa tambahan lebih panjang itu mencerminkan masa sebenar perlawanan yang terbuang dalam 90 minit. Antaranya sebagai ganti kepada masa keraian pemain menjaringkan gol, pertukaran pemain, kecederaan serta termasuk keputusan-keputusan dibuat pengadil.

BACA: KKM Batal Notifikasi Enam Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

Sumber: Sportbibble

The post Pengadil Bolivia Digantung Tugas, Bagi Masa Tambahan Sampai 42 Minit appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*