Pengasuh tekup kepala bayi dengan plastik, tarik rambut, heret tangan dengan kasar, dihukum penjara & denda RM32,000

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM32,000 terhadap seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) kerana menganiaya dua kanak-kanak berusia setahun.

Tertuduh, Siti Rosliza Mukhtar, 47, mula menjalani hukuman penjara sejak kelmarin akan dipenjara selama 18 bulan sekiranya gagal membayar denda RM32,000.

Hukuman itu diputuskan oleh dua hakim, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi dan Norina Zainol Abidin, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah di atas dua pertuduhan menganiaya kanak-kanak terbabit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan penganiayaan dengan menekup kepala kanak-kanak perempuan dengan plastik yang mungkin boleh menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Tertuduh juga didakwa melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki dengan menarik dan mengheret tangan mangsa dengan kasar, serta menarik rambutnya yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Dua pertuduhan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah Taska di Brickfields pada jam 3.19 petang dan 5.36 petang, 16 November 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2002 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri yang terdahulu memohon hukuman penjara dan denda dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran, mengambil kira faktor kepentingan awam dan menghantar mesej jelas bahawa tiada kompromi terhadap kesalahan tersebut.

“Tertuduh sepatutnya lebih bertanggungjawan dan berhati-hati ketika mengasuh kanak-kanak. Kesalahan itu jelas penganiayaan kepada kanak-kanak.

“Sebagai orang dewasa, tertuduh boleh lihat kesan dan akibat tindakannya terhadap kanak-kanak itu,” katanya.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub berkata, tertuduh sebagai pengasuh sepatutnya menjaga kanak-kanak dengan baik seperti yang diamanahkan oleh ibu bapa mereka.

“Tertuduh yang tiada rekod jenayah menekup kepala mangsa dengan plastik dan ia membahayakan serta mengakibatkan kecederaan serius kepada kanak-kanak itu. Saya memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh yang didakwa kerana menganiaya mangsa,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu dikenakan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung ibu yang rabun serta adik-beradik lain.

“Saya tidak berkahwin dan ketika ini menumpang di rumah adik. Saya juga perlu melunaskan kembali bayaran pinjaman di syarikat lama saya bekerja,” katanya.

BACA: Tunjuk kaki sikit, mesej Ebit pada pengadu – Saksi

Sumber: Harian Metro

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*