Pengeluaran KWSP, Lebih Baik Kerajaan Cari Jalan Lain – Anwar

Pengeluaran KWSP, Lebih Baik Kerajaan Cari Jalan Lain – Anwar

KANGAR, 16 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mempertimbangkan nasib dan masa depan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum membenarkan sekali lagi pengeluaran khas.

Anwar berkata adalah lebih baik kerajaan mencari kaedah dan jalan lain yang lebih berkesan bagi membantu rakyat yang terkesan serta kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

Beliau berkata ini kerana kebanyakan pencarum memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil dan jika kerajaan membenarkan pengeluaran sekali lagi, ia akan memberikan kesan kepada masa depan pencarum itu sendiri

“Terlalu kecil… saya periksa jumlah simpanan kebanyakan pencarum jumlahnya sangat rendah, jadi saya bimbang tentang masa depan mereka, jadi lebih baik kerajaan cari jalan untuk bantu mereka,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Perlis di sini hari ini.

Semalam, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) meminta kerajaan supaya mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang caruman KWSP sebanyak RM30,000.

Presidennya, Khairul Anuar Othman berkata, pengeluaran secara sekali bayar antara RM10,000 hingga RM30,000 itu adalah langkah penyelesaian jangka pendek supaya rakyat tidak terputus perbelanjaan wang tunai.

Sementara itu, semasa diminta mengulas mengenai projek pembangunan di Perlis, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meneliti semua projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) selepas Bajet 2023 dibentangkan 24 Feb ini.

“Soal projek itu kita bincang dengan koridor utara. Menteri Besar pun telah menghantar senarai beberapa projek yang disebut Pelabuhan Sanglang, Perlis Inland Port, keterjaminan makanan, itu hal-hal yang kita beri tumpuan, tetapi lebih baik kita dengar dengan lebih teliti dalam mesyuarat koridor selepas bajet nanti,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Pengeluaran KWSP, Lebih Baik Kerajaan Cari Jalan Lain – Anwar appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*