Penggiat seni tidak terkecuali Akta Kerja 

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak mempunyai kuasa perundangan berhubung aspek jumlah waktu bekerja yang dikuatkuasakan menerusi Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 mulai semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia 1981 (Akta 244) tidak memberi kuasa perundangan kepada Finas berhubung tempoh bekerja dan penggiat seni tidak terkecuali daripada pindaan itu.

“Akta 244 tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 yang terpakai dan berkuat kuasa dalam aspek jumlah waktu bekerja.

“Maka, pandangan bahawa Finas mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan ataup menetapkan had masa kerja penggiat seni adalah tidak tepat sama sekali, malah ia bercanggah dari segi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Md. Nasir berharap kekeliruan dan salah tafsir sesetengah pihak tentang bidang kuasa Finas berhubung isu itu terutama melibatkan para pelakon dan kru produksi penggambaran dapat diperbetul.

Beliau berkata, setiap pekerja dan majikan dalam industri perfileman cakna tentang pindaan terkini Akta Kerja 1955 dan mematuhi jumlah waktu bekerja yang  ditetapkan menurut terma dan syarat kontrak antara majikan serta pekerja yang diperuntukkan di bawah akta itu.

Bagaimanapun, katanya, Finas mengambil pendekatan terbuka dan proaktif dengan berhasrat mengundang wakil-wakil persatuan perfileman seperti Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan entiti pemegang taruh lain berkepentingan bagi membincangkan isu tersebut.

“Finas juga bersedia dan terbuka menerima sebarang kritikan dan cadangan membina daripada semua pihak demi memastikan kepentingan dan kebajikan pekerja industri perfileman negara sentiasa terbela serta dilindungi,” katanya.

Semalam, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 mula berkuat kuasa selepas dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar susulan keperluan berkenaan isu itu walaupun gesaan daripada pihak industri untuk memanjangkan tempoh penangguhan.

Pindaan akta tersebut termasuk pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari dan larangan diskriminasi. – UTUSAN

 

The post Penggiat seni tidak terkecuali Akta Kerja  appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*