Penguatkuasaan Cukai Cecair Vape Bermula Hari Ini

penguatkuasaan cukai vape

Penguatkuasaan Cukai Cecair Vape Bermula Hari Ini

Penguatkuasaan cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) bagi rokok elektronik yang mengandungi kandungan nikotin bermula hari ini.

Menurut Sinar Harian, perkara tersebut diumumkan menerusi satu notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Berdasarkan notis, duti baharu itu mula berkuat kuasa susulan bermulanya Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023.

Sebelum ini, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape pada 24 Februari lalu.

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2023, penguatkuasan duti eksais tersebut dijangka dapat menghasilkan pendapatan kira-kira RM2 bilion.

Anggaran RM2 bilion ini bersandarkan kadar penggunaan bahan tersebut secara meluas dalam kalangan ahli masyarakat.

Duti tersebut merupakan satu langkah proaktif bagi mengurangkan penggunaan rokok elektronik sesama ahli masyarakat, kata Anwar.

Pengecualian bahan-bahan termasuk nikoton dan tembakau dalam Akta Racun 1952

Sementara itu, satu warta telah dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengecualikan beberapa bahan dalam Akta Racun 1952.

Antaranya, gula-gula getah, tampalan termasuklah tembakau dan bahan bernikotin, sama ada dalam bentuk cecair mahupun gel.

Warta tersebut memaklumkan, pengecualian tersebut termaktub pada bahan-bahan yang didaftarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Jelas Zaliha, susulan pengecualian itu, cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok dengan menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik kini adalah suatu barangan berduti eksais dan dikawal di bawah Akta Eksais 1976 (Akta 176).

“Akta Eksais 1976 memperuntukkan kawalan antaranya dengan melesenkan aktiviti pengilangan dan penggudangan yang melibatkan sediaan ini. Mana-mana orang yang mengilang barangan berduti eksais tanpa lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap bahan-bahan tersebut, KKM akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan mengawal selia perkara tersebut.

Dalam pada itu, KKM meletakkan sasaran untuk membentangkan RUU baharu berkenaan dengan kadar segera.

Difahamkan, RUU tersebut bakal dibentangkan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas, pada Mei 2023.

“KKM telah menjalankan sesi libat urus berkenaan dasar yang telah ditetapkan di bawah RUU baharu ini termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok kepada semua pihak berkepentingan seperti ahli Parlimen, badan bukan kerajaan, badan profesional dan pihak lain yang berkaitan,” katanya.

Zaliha berkata, kementeriannya akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok. Hal ini termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape menerusi Pelan Generational Endgame Anti Rokok (Gegar).

“Ia adalah dengan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui kerjasama bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Yayasan Sukarelawan Siswazah, Majlis Belia Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan,” katanya.

BACA: Cukai Vape Boleh Dilaksanakan Selepas KKM Teliti Isu Perundangan

Sumber: Sinar Harian

The post Penguatkuasaan Cukai Cecair Vape Bermula Hari Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*