Pengusaha Bengkel Rugi RM100,000 Akibat Banjir Di Kota Tinggi

pengusaha bengkel rugi banjir

Pengusaha Bengkel Rugi RM100,000 Akibat Banjir Di Kota Tinggi

KOTA TINGGI, 1 Mac (Bernama) — Seorang pengusaha bengkel kenderaan di Jalan Kota Kecil 1 di sini terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM100,000, apabila bengkelnya ditenggelami air akibat banjir, berikutan hujan berterusan sejak pagi semalam.

Hairul Helme Abd Rahman, 43, yang menjalankan perusahaan bengkel sejak 20 tahun lepas berkata malah dalam kejadian itu, lapan kereta milik pelanggannya turut ditenggelami air sehingga paras bumbung.

“Pada pukul 11 pagi semalam, tiba-tiba air naik dengan cepat setinggi 1.5 meter, saya tidak sempat menyelamatkan peralatan bengkel dan kereta pelanggan, kini banyak barangan yang telah rosak termasuk mesin jack, pemampat angin dan botol minyak yang tidak ditutup rapat.

“Selama enam tahun saya buka bengkel di Jalan Kota Kecil 1, inilah kali pertama musibah yang paling teruk sekali yang saya perlu hadapi,” katanya ketika ditemui pemberita di bengkelnya di sini hari ini.

BACA JUGA: Johor Dilanda Banjir: 1,591 Mangsa Dipindahkan Ke 21 PPS Di Empat Daerah

Hairul Helme berkata akibat kejadian itu, operasi bengkelnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari pekan Kota Tinggi, terpaksa dihentikan sementara selama dua minggu untuk kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih peralatan mesin yang telah rosak.

Seorang peniaga restoran Siti Mumsiah Idris, 58, berkata premis perniagaannya mula dinaiki air sehingga paras lutut pada pukul 5 pagi tadi dan musibah itu menyebabkan tiga peti aisnya rosak dan mengalami kerugian kira-kira RM2,000.

“Pada pukul 11 pagi tadi air mula surut, kini saya dan keluarga telah pun memulakan kerja-kerja pembersihan kedai, bagaimanapun banjir kali ini tidak seteruk yang berlaku pada 2006,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati terdapat kira-kira 15 premis perniagaan di Jalan Kota Kecil 1 berkenaan dan pemilik kedai masing-masing sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan, setelah banjir mula surut sejak pukul 1 tengah hari tadi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Zon 2 Johor, Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat berkata pihaknya sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi banjir, memandangkan keadaan cuaca di sekitar daerah ini masih lagi tidak menentu.

“Sekiranya perlu kita akan mengubah syif anggota kita kepada 24 jam ataupun mungkin kita akan meminta bantuan bomba daripada daerah yang luar daripada Kota Tinggi, untuk membantu operasi kita,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan penduduk di daerah ini dan kawasan terjejas banjir supaya tidak mengambil risiko meredah arus banjir, kerana kedalaman air dan kekuatan arus deras ketika banjir tidak dapat dijangka sekali gus membahayakan nyawa.

Sumber: BERNAMA

The post Pengusaha Bengkel Rugi RM100,000 Akibat Banjir Di Kota Tinggi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*