Peniaga warung dipenjara 15 tahun noda anak tiri usia 12 tahun

SEREMBAN – Seorang  peniaga warung dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 19 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan sumbang mahram dan seks luar tabii terhadap anak tirinya sejak 2021 hingga Disember tahun lalu.

Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia  38 tahun mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan.

Surita dalam prosiding penghakiman menetapkan hukuman penjara ke atas lelaki itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 29 Disember 2022 dan berharap hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan dengan anak tirinya yang ketika kejadian berusia 12 tahun yang mana hubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengannya.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berasingan iaitu sebuah rumah dan warung di Jempol antara 1 Januari 2021 hingga 10 Disember 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dihukum dengan sebatan.

Bagi satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan seks luar tabii terhadap anak tirinya tanpa kerelaan lebih kurang pukul 8 malam 11 April hingga 20 April 2021 di sebuah warung di Jempol.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang kini berusia 14 tahun telah dirogol sebanyak enam kali oleh tertuduh yang merupakan ayah tiri hasil perkahwinan dengan ibu mangsa pada 2014.

Hasil siasatan mendapati mangsa telah dirogol sebanyak enam kali dan tertuduh telah melakukan seks luar tabii tanpa kerelaan dan pemeriksaan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah mendapati terdapat kesan koyakan di kemaluannya.

Mangsa memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia telah lama dirogol oleh ayah tiri tetapi takut untuk menceritakan kejadian itu sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol pada Disember lalu.

Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh mengambil kira kepentingan awam dan mangsa yang merupakan anak tirinya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman dikurangkan dan telah menyesali perbuatan tersebut.

Pada 30 Disember lalu, media melaporkan polis menahan seorang peniaga lelaki berusia 34 tahun selepas disyaki merogol anak tirinya di Batu Kikir, Jempol.

Mangsa mendakwa telah dirogol oleh bapa tirinya pada 10 Disember lalu ketika sedang tidur di ruang tamu rumah.

Susulan kejadian itu, mangsa telah menceritakan kepada kakaknya sebelum laporan polis dibuat. – KOSMO! ONLINE

 

The post Peniaga warung dipenjara 15 tahun noda anak tiri usia 12 tahun appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*