Pensijilan Profesional PERKESO Membawa Peranan Besar Dalam Pelaksanaan Strategi Pembangunan Modal Insan

Menteri Sumber Manusia, YB V. Sivakumar menyampaikan ucapan tahniah kepada semua 119 graduan yang berjaya memperoleh Pensijilan Profesional PERKESO pada tahun ini. Pensijilan itu meliputi Certified Disability Management Professional (CDMP), Certified International Pension and Retirement Professional (CIPRP) dan Professional Career Management Course (PCMC).

Ujarnya, Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menawarkan pensijilan CDMP dan CRTWC yang bertaraf antarabangsa. Untuk makluman, kedua-dua pensijilan itu telah dibangunkan National Institute of Disability Management & Research (NIDMAR), Kanada dan mula diperkenalkan PERKESO di rantau ini pada 2010.

“Saya berharap hasil usaha para graduan memperoleh pensijilan profesional ini akan menjadi inspirasi kepada para pekerja lain untuk cuba mencapai kejayaan yang sama. Mendapat pengiktiraran profesional bukan sahaja akan meningkatkan kemahiran, prestasi dan perkembangan kerjaya setiap individu, malah ianya akan memberi manfaat besar kepada mereka yang menerima perkhidmatan dari pengamal keselamatan sosial yang profesional dalam bidang masing-masing,” ujarnya dalam Majlis Graduasi Pensijilan Profesional PERKESO hari ini.

Jelasnya, pensijilan profesional itu memainkan peranan penting dalam mencapai Pelan Strategik Kementerian Sumber Manusia 2020-2025 iaitu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan perlindungan keselamatan sosial kepada pelanggan, memantapkan penyelidikan berhubung isu-isu perburuhan dan penggajian, dan memperluaskan aktiviti penyelidikan sumber manusia dan pasaran buruh.

Sementara itu, beliau sempat melawat “Walk-In Interview MyFuturejobs” dan “Bazar RTWPreneur” yang menawarkan lebih 500 kekosongan jawatan daripada pelbagai sektor.

“Saya dimaklumkan bahawa seiring dengan usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, PERKESO akan menganjurkan lebih 40 Karnival Kerjaya peringkat negeri dan hampir 3,000 program temuduga terbuka di pejabat-pejabat PERKESO, Pusat-pusat Satelit MYFutureJobs dan premis kolej serta universiti di seluruh negara, di sepanjang tahun 2023 ini,” tambahnya.

Katanya lagi, satu Ekspo Kerjaya berskala besar bakal dianjurkan pada penghujung 2023 bagi menyasarkan golongan pelbagai peringkat termasuk lepasan sekolah, graduan, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan rentan yang lain.

“Pada minggu hadapan pula, satu Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 akan dianjurkan PERKESO di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Februari 2023. Lebih 140,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan oleh 10,000 majikan yang mengambil bahagian seperti Maybank, BSN, EXIM Bank, KTM Malaysia, ExxonMobil, UMW, UOA Group dan Avisena Healthcare.

“Untuk meningkatkan peluang calon-calon berjaya dalam temu duga, PERKESO akan menyediakan perkhidmatan pekerjaan secara percuma seperti penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya. Saya menyeru semua pencari kerja supaya merebut peluang yang disediakan di Karnival ini dan anda digalakkan membuat pendaftaran awal di pautan www.myfuturejobs.gov.my/career,” tambahnya.

Beliau juga menggesa para majikan untuk menggunakan Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk mencari tenaga kerja tempatan dengan mengiklankan kekosongan jawatan di portal tersebut.

PERKESO, sebagai salah satu agensi Kementerian, juga menyediakan perkhidmatan pekerjaan secara percuma kepada majikan seperti pengambilan pekerja dan sesi temu duga yang diadakan setiap hari di pejabat-pejabat utama PERKESO, secara mingguan di Pejabat PERKESO tempatan dan setiap bulan di Pusat-pusat Satelit MYFutureJobs.

“Sebagai Menteri Sumber Manusia, saya akan memastikan usaha pembangunan kapasiti dan peningkatan kemahiran, kompetensi dan kecekapan sumber manusia tempatan demi pengukuhan perlindungan keselamatan sosial yang inklusif dilaksanakan secara berterusan. Ini adalah selaras dengan gagasan Malaysia Madani yang antara lain menekankan modal insan yang menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi di samping memiliki nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi,” tambahnya lagi.

The post Pensijilan Profesional PERKESO Membawa Peranan Besar Dalam Pelaksanaan Strategi Pembangunan Modal Insan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*