Peristiwa Israk Mikraj, Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW

bukti kerasulan nabi muhammad

Peristiwa Israk Mikraj, Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW

Umum mengetahui, Nabi Muhammad SAW merupakan utusan terakhir daripada Allah SWT untuk membimbing umat manusia ke jalan yang benar.

Dalam beberapa hari lagi, seluruh umat Islam bakal menyambut satu malam yang memberikan makna yang cukup besar kepada kita iaitu “Israk dan Mikraj”.

Peristiwa ini menyaksikan pelbagai perkara yang menakjubkan berlaku dan tidak mampu diucapkan dengan kata-kata oleh seluruh umat manusia.

Hal ini kerana peristiwa Israk Mikraj menyaksikan perjalanan kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW menghadap-NYA bagi menerima perintah.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Mari kita ikuti perkongsian di bawah.

Ringkasan Peristiwa Israk Mikraj

Gambar: Britannica

Berlaku pada 27 Rejab Tahun ke-12 kerasulan baginda. Israk dan Mikraj menjadi bukti terbesar kerasulan baginda, Nabi Muhamad SAW.

Hal ini kerana dalam peristiwa ini telah berlaku pelbagai perkara dalam waktu yang singkat.

Pada malam berkenaan, baginda Nabi Muhammad SAW melakukan perjalanan dari Mekah ke Baitulmaqdis di Palestin dengan menaiki haiwan yang dikenali sebagai ‘Buraq’ bersama Malaikat Jibril AS.

Selepas itu, baginda telah naik ke langit Sidratul Muntaha sebelum ke suatu tempat yang dikenali sebagai Mustawa bagi menerima satu perintah iaitu “Ibadah Solat”.

Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW

Kebiasaannya, perjalanan dari Masjid Al-Haram (Mekah) ke Baitulmaqdis (Palestin) mengambil waktu yang lama iaitu selama dua bulan untuk pergi dan balik.

Namun dengan kekuasaan Allah SWT, peristiwa itu hanya berlaku pada satu malam sahaja. Baginda dikhabarkan telah kembali semula ke Mekah sebelum menjelang Subuh.

Tambahan lagi perkara itu turut disebutkan dalam Surah al-Isra, ayat satu.

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Disebabkan peristiwa agung itu, masyarakat Quraisy termasuklah orang-orang Islam yang lemah imannya telah mengingkarinya.

Bagaimanapun, perkara itu diyakini (dipercayai) oleh sahabat nabi, Abu Bakar sehingga digelar “Al-Siddiq” yang bererti membenarkan.

Kejadian Sepanjang Israk Mikraj

Walaupun berlaku dalam hanya satu malam. Namun pelbagai peristiwa di luar kemampuan manusia benar-benar berlaku.

Melihat Gambaran Syurga Dan Neraka Sewaktu Perjalanan Israk Mikraj

Dalam hadis al-Tabrani dan al-Bazzar meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah melalui petempatan beberapa kaum yang hidup penuh dengan kemaksiatan.

Antaranya termasuklah malas mendirikan solat, tidak mahu membayar zakat, terlibat dengan wang riba, mengumpat, menyebarkan fitnah, berzina, bersikap sombong dan tidak menepati janji.

Ia menggambarkan azab yang bakal diterima oleh umat Nabi Muhammad  SAW sekiranya melakukan maksiat dan mengingkari perintah Allah SWT.

Selain itu, sewaktu dibawa oleh Malaikat Jibril menaiki seekor haiwan bernama ‘buraq’, baginda melihat ke suatu lembah yang dingin dan nyaman.

BACA JUGA: Kisah Bilal Bin Rabah, Tidak Gentar Diseksa Demi Menjaga Agama

Anginnya juga membawa wangian semerbak bagaikan kasturi serta suara keriangan. Ketika itu, Rasulullah bertanya ke Jibril mengenai perkara itu.

Maka jawab Jibril, itu adalah suara penghuni syurga yang memohon nikmat daripada Allah agar membalas apa-apa yang dijanjikan.

Sementara itu, ketika Jibril AS membawa baginda lagi melalui suatu tempat. Nabi terdengar suara bising dan udara yang berbau busuk.

Jelas Jibril, itu merupakan suara penghuni neraka yang menyeru agar ditambah lagi azab yang dijanjikan walaupun telah bertimbun padanya rantai, belenggu, api menjulang, air panas mendidih kepada mereka yang mensyirikkan Allah dan melakukan perbuatan maksiat.

Menjadi Imam Para Rasul

Sementara itu, Ibnu Mas’ud Radiallhu Anhu pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah dipimpin oleh Jibril AS ke hadapan untuk menjadi imam solat bersama para rasul.

Perkara ini menjadi petunjuk bahawa kedatangan baginda adalah membawa syariat dan secara tidak langsung menamatkan syariat rasul-rasul terdahulu.

Dalam riwayat Anas Bin Malik menyebut, setelah Rasulullah SAW tiba di Baitulmaqdis. Baginda telah masuk ke Masjid Al- Aqsa dan menunaikan solat dua rakaat.

Bertemu dengan Nabi-Nabi Terdahulu

Dalam perjalanan ini, Nabi Muhammad SAW telah mengunjungi “bapa” kepada umat manusia iaitu Nabi Adam AS di langit pertama.

Selain itu, baginda juga bertemu dengan nabi-nabi terdahulu di setiap tingkat langit yang berbeza sebelum bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha.

Antaranya Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS di langit kedua, Nabi Yusuf AS di langit ketiga, Nabi Idris AS di langit keempat, Nabi Harun AS di langit kelima, Nabi Musa AS di langit keenam dan Nabi Ibrahim AS di langit ketujuh.

BACA JUGA: Jin Ifrit Pernah Dicekik Rasulullah Ketika Solat, Betul Ke Hadis Itu?

Menurut Tafsir al-Maraghiy, peristiwa Israk dan Mikraj telah menunjukkan bahawa walaupun para Rasul terdahulu berbeza zaman, keturunan, bahasa dan budaya namun mereka masih hormat menghormati antara satu sama lain.

Peristiwa Pemilihan Susu Dan Arak

Seterusnya, Malaikat Jibril AS datang kepada Nabi Muhammad SAW dengan dua jenis minuman iaitu arak dan susu.

Antara kedua-kedua minuman itu, Rasullah SAW telah memilih susu. Jelas Jibril AS, baginda telah memilih fitrahnya.

Susu melambangkan kesucian manakala arak pula merupakan ibu segala kejahatan. Oleh itu, Allah SWT melaknat peminum arak, penjual, pemberi, pembawa, peniaga dan sebagainya.

Solat Fardhu 50 Sehari Dikurangkan Kepada 5 Kali Sehari

bukti kerasulan nabi muhammad
Gambar: The Muslim Life Coach Institute

Sewaktu mengadap Sang Pencipta, Allah SWT telah mengutuskan solat fardhu sehari semalam perlu dilakukan sebanyak 50 kali.

Bagaimanapun, Allah SWT memperkenan rayuan oleh baginda dengan meringankan kepada lima waktu dalam sehari.

Akan tetapi, ganjarannya masih kekal dengan 50 waktu.

Kesimpulan

Peristiwa Israk dan Mikraj menjadi antara mukjizat atau bukti kerasulan baginda Nabi Muhammad SAW. Bahkan peristiwa itu menjadi satu ujian keimanan kepada seorang muslim.

Sebagai seorang muslim dan muslimah, Israk dan Mikraj tidak boleh disangkal kerana telah disebutkan dalam Al-Quran mengenai malam yang cukup bersejarah bagi seluruh umat Islam.

Sumber: Khutbah Jumaat (Jabatan Agama Islam Selangor), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Selangor Kini

The post Peristiwa Israk Mikraj, Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*