Perjalanan Nabi Muhammad SAW Semasa Israk Mikraj, Adakah Sebahagian Atau Keseluruhan Malam?

perjalanan nabi semasa israk

Perjalanan Nabi Muhammad SAW Semasa Israk Mikraj, Adakah Sebahagian Atau Keseluruhan Malam?

Israk Mikraj adalah salah satu mukjizat selain turunnya Al-Quran dan ia berlaku selepas kewafatan bapa saudara Nabi Muhammad S.A.W dan isteri kesayangan baginda Saidatina Khadijah.

Peristiwa ini juga merupakan satu mukjizat yang besar dan tanda kenabian yang sangat jelas. Namun mungkin ada yang terfikir, adakah ia berlaku hanya sebahagian malam atau keseluruhan malam?

Namun, sebelum dijelaskan dengan lebih lanjut mari ikuti perkongsian daripada Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri mengenai tempoh berlakunya Israk Mikraj.

#26: Tempoh Berlakunya Isra’ Mi’raj

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tafsiran lafaz Lailan (‘لَيْلًا’) dalam ayat Isra’ Mi’raj. Adakah ia membawa makna sebahagian kecil daripada malam atau keseluruhan malam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Peristiwa Isra’ Mi’raj adalah merupakan satu mukjizat yang besar dan tanda kenabian yang sangat jelas. Ia juga merupakan satu kekhususan bagi Nabi Muhammad SAW, di mana ia tidak pernah berlaku kepada para nabi dan rasul sebelum daripadanya.

Lafaz asra (أَسْرَىٰ) yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah melakukan perjalanan pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa. Manakala mi’raj (مِعْرَاج) berasal daripada perkataan yang bermaksud naik. Mi’raj (مِعْرَاج) adalah alat yang digunakan untuk naik. Maksud mi’raj (مِعْرَاج) Rasulullah SAW adalah naik daripada bumi ke langit melewati tingkatan langit sampai ke langit ketujuh.

Pada asasnya, peristiwa Isra’ dan Mi’raj diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Syeikh Tahir bin ‘Asyur menyebut bahawa perjalanan Israk dan Mi’raj adalah merupakan peristiwa yang mencarik adat (satu mukjizat) yang mana perjalanannya dari awal sehinggalah akhir hanya memakan masa sebahagian malam.

Berkenaan bilakah Isra’ Mi’raj berlaku, tiada dalil yang pasti yang menyatakan berlakunya Isra’ Mi’raj pada bulan yang tertentu atau sepuluh hari tertentu atau dipastikan pada tanggal tertentu. Bahkan, para ulama’ berselisih pendapat berkenaan hal ini dan tidak ada yang dapat menyatakan waktunya yang pasti.

Tafsir Lafaz ‘لَيْلًا’ dalam Surah al-Isra’ (Kadar Panjang Malam)

Allah SWT berfirman:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ‎

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Al-Syaukani berkata: Suatu pendapat menyebut bahawa maksud ‘لَيْلًا’ adalah menyedikitkan masa ‘الإسراء’. Yakni, Allah SWT memperjalankan Baginda SAW hanya pada sebahagian malam, dari Mekah ke Syam yang biasanya ditempuh dalam waktu 40 hari (jika menggunakan pengangkutan biasa pada zaman tersebut).

Wajh al-dalalah (bentuk pendalilan) bahawa lafaz ‘لَيْلًا’ menunjukkan sedikitnya masa tersebut adalah bentuk nakirah yang menunjukkan sebahagian. Berbeza jika dikatakan ‘سَرَيْتُ اللَّيْلَ (aku berjalan malam tadi), kerana ini bermaksud perjalanan itu mencakupi seluruh malam tersebut.

Dalam menyatakan bahawa lafaz لَيْلًا’ menunjukkan sebahagian, pengarang al-Kassyaf berdalilkan dengan qira’at Abdullah dan Huzaifah: ‘مِنَ اللَّيْلِ’ (pada sebahagian malam).

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Faedah penyebutan lafaz ‘لَيْلًا dengan bentuknya yang nakirah adalah bagi mengisyaratkan betapa sebentarnya waktu yang ditempuh dalam peristiwa isra’ tersebut. Hal ini juga bagi menunjukkan bahawa peristiwa isra’ itu berlaku pada sebahagian malam kerana bentuk nakirah menunjukkan erti ‘البعضية’ (sebahagian). Sedangkan jarak antara Mekah dengan Syam (yang mencakupi Palestin) ditempuh selama empat puluh malam jika menggunakan alat pengangkutan pada zaman dahulu.

Justeru, berdasarkan tafsiran di atas, dapat difahami bahawa penggunaan lafaz لَيْلًا’ dalam bentuk nakirah menunjukkan betapa sebentarnya waktu yang ditempuh oleh Nabi SAW ketika malam Isra’ Mi’raj. Hal tersebut jelas merupakan salah satu mukjizat dan tanda kenabian bagi Nabi kita Muhammad SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam memahami syariat-Nya serta mengukuhkan keimanan kita dalam mengimani setiap apa yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

BACA: Ketika Israk & Mikraj, Nabi Naik Ke Langit Hanya Dengan Roh Atau Jasad Sekali?

Perjalanan Nabi Muhammad SAW semasa Israk Mikraj

Kredit: BERNAMA

Memetik Haramain Sharifain, peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada bulan Rejab iaitu 27 Rejab setahun sebelum hijrah iaitu ketika Islam (pada waktu itu) masih belum diterima ramai.

Berikut adalah definisi ringkasnya:

Israk: Bahagian pertama perjalanan dikenali sebagai Israk, di mana Nabi Muhammad SAW mengembara dari Masjidil Haram, Makkah ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Mikraj: Perjalanan Rasulullah SAW naik ke Sidratul Muntaha untuk bertemu Allah S.W.T.

Memetik Bahagian Dakwah, Jakim, semasa Israk, malaikat Jibril datang kepada Nabi di rumahnya dan membawanya ke Masjidil Haram.

Dalam pada itu, sesetengah para ulama dikatakan khilaf berkenaan dengan berapa kali Nabi dibedah dadanya pada malam Israk.

‘Sebahagian mereka ingkar berlakunya pembelahan dada pada malam Israk’

Ulama berkata berkata ia hanya berlaku ketika kecil di perkampungan Bani Sa’d.

Namun, menurut Maktabah Al Bakri, dada Rasulullah dibelah ketika Israk dan Mikraj menggunakan air zam-zam.

Perkara itu adalah thabit dalam Sahih Bukhari dan Muslim dan lain lagi seperti riwayat Anas bin Malik daripada Malik bin Sa’sa’ah dan lain.

Difahamkan, Rasulullah dibawa oleh malaikat Jibril menaiki Buraq dengan hanya satu malam sahaja semasa perjalanan Israk Mikraj menuju ke Masjidil Aqsa, menurut infografik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kredit: JAKIM

Dalam perjalanan itu, Jibril mengarahkan Rasulullah untuk berhenti dan solat dua rakaat di tempat-tempat tertentu yang tercatat sejarah Islam.

Ia bertujuan untuk bagi menghormati tempat tersebut, memetik artikel Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Antara tempat-tempat berkenaan ialah negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah, Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah dan yang terakhir ialah Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan).

Kredit: Muslim Hands

Semasa dalam perjalanan Rasulullah menyaksikan pelbagai peristiwa antara gambarannya ialah baginda melihat kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka.

Namun apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Perkara itu berlaku secara ulangan.

Setibanya di Masjidil Aqsa, Rasulullah  turun daripada Buraq.

Baginda kemudian masuk ke dalam masjid lalu mengimamkan sembahyang dua rakaat yang disertai oleh sekalian para Nabi dan Rasul yang terdahulu daripada Baginda SAW.

Petikan jurnal

Perjalanan Baginda sepanjang malam sehingga tiba di Masjidil Aqsa dirujuk menerusi tulisan jurnal Karya Al-Tawabi‘ Wa Al-Zawabi‘ Oleh Ibn Shuhayd (382-426H) Dan Risalat Al-Ghufran Oleh Al-Ma‘arri (363-449H): Satu Adaptasi Daripada Peristiwa Isra’ Mi‘raj oleh Rahmah Ahmad Osman dan Mohd Shahrizal Nasir.

Mikraj

Kredit: FB Bahagian Dakwah, Jakim

Selepas perjalanan Nabi semasa Israk, Rasulullah didatangkan dengan Mikraj yang mengangkatnya ke langit melepasi tujuh lapisan langit.

Di setiap tangga lapisan langit itu, Rasulullah dipertemukan dengan nabi-nabi yang terdahulu sebelum dinaikkan ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah SWT.

Langit pertama, Rasulullah bertemu dengan Nabi Adam, langit kedua bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya, manakala langit ketiga baginda berjumpa dengan Nabi Yusuf.

Sementara itu, di langit keempat Rasulullah bertemu dengan Nabi Idris, yang kelima bertemu dengan Nabi Harun, langit keenam pula Nabi Musa dan akhir sekali di langit ketujuh Rasulullah berjumpa dengan Nabi Ibrahim.

Ketika di Sidratul Muntaha, Rasulullah bertemu dengan Allah dan Jibril tidak mengiringi baginda. Rasulullah menerima perintah solat 50 waktu daripada Allah SWT.

Setelah selesai urusannya, Nabi yang diiringi oleh Jibril semasa turun bertemu dengan Nabi Musa dan menasihatkan untuk mempertimbangkan waktu solat demi umat baginda.

Lalu baginda turun dan naik berulang kali ke langit itu meminta untuk dikurangkan solat kepada lima waktu atas cadangan Nabi Musa.

perjalanan nabi semasa israk
Gambar: International Aqsa Institute/Google

Selepas Mikraj, Rasulullah SAW dibawa turun ke langit dunia semula untuk kembali ke Bailtulmaqdis.

Baginda telah dibawa menaiki Buraq untuk pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Kepulangan Rasulullah telah disambut oleh para Nabi dan Rasul sebagai satu tanda penghormatan terhadap baginda, memetik Journal Satu Adaptasi Daripada Peristiwa Isra’ Mi‘raj, muka surat tujuh.

Daripada sudut sejarah, Israk Mikraj menjadi bukti bagaimana Allah mensyariatkan amalan solat lima waktu yang termaktub dalam Rukun Islam.

Manakala daripada sudut sains, Israk Mikraj dipercayai menyumbang kepada inovasi sains dan teknologi iaitu Buraq sebagai ‘alat’ / ‘kenderaan’ yang mampu terbang ke ruang angkasa dengan pantas.

Sumber: Maktabah Al Bakri, Muslim Hands, JAKIM, Journal Satu Adaptasi Daripada Peristiwa Isra’ Mi‘raj

BACA: Peristiwa Israk Mikraj, Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW

The post Perjalanan Nabi Muhammad SAW Semasa Israk Mikraj, Adakah Sebahagian Atau Keseluruhan Malam? appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*