Perodua komited kekalkan harga

PETALING JAYA – Perodua komited untuk mengekalkan harga jualan kenderaannya pada masa ini meskipun berdepan dengan cabaran berkaitan kenaik­an kos bahan mentah dan bahan api.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat berharap kos tersebut kekal terurus dan kadar tukaran mata wang serta kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri.

“Buat masa ini, sekiranya faktor-faktor ini kekal pada paras yang wajar, Perodua akan mengekalkan harga kenderaan.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah untuk menghantar kenderaan kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Zainal Abidin menjelaskan, 2022 adalah tahun terbaik buat Perodua dan juga dalam industri automotif Malaysia.

Menurutnya, ini boleh dilihat daripada prestasi pengeluaran dan jualan Disember 2022 syarikat yang mana secara puratanya 1,000 kenderaan dikeluarkan dan didaftarkan setiap hari.

Mengulas mengenai pencapaian tahun lalu, Zainal Abidin berkata, pengeluaran ken­deraan Perodua meningkat sebanyak 49.5 peratus kepada 289,054 unit berbanding 193,400 unit pada 2021.

Prestasi jualan pula naik sebanyak 48.2 peratus kepada 282,019 unit berbanding 190,291 unit kenderaan yang didaftarkan pada 2021.

Sementara itu, khidmat selepas jualan menyaksikan jumlah pengambilan servis meningkat kepada 2.6 juta, iaitu kenaikan 30 peratus daripada dua juta pengambilan servis pada tahun 2021.

Tambahnya, 2022 memberikan cabaran besar akibat daripada bencana banjir, kekura­ngan pekerja impak lonjakan kes jangkitan Covid-19 di peringkat pembekal, kekurangan bekalan cip semikonduktor dan peningkatan mendadak harga bahan mentah.

“Melalui perancangan yang betul, Perodua dan rakan niaga kami bukan sahaja dapat mengatasi cabaran ini tetapi juga memperoleh pertumbuhan yang sa­ngat diperlukan industri.

“Matlamat kami adalah untuk memenuhi jangkaan pelanggan bukan sahaja dari segi penyampaian produk dan perkhidmatan, tetapi juga dalam memperkenalkan tawaran nilai yang lebih hebat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

 

The post Perodua komited kekalkan harga appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*