Pertahanan Go Ahead Eagles mahu sarung jersi Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Pertahanan kanan Go Ahead Eagles, Mats Deijl ternyata tidak sembang kencang dalam usaha untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya selepas dia berusaha keras menyediakan dokumen penting demi impian beraksi bersama Malaysia menjadi kenyataan.

Menerusi video temu bual di laman Instagram sameneustijgerbalsem, Deijl memaklumkan bahawa dokumen mengenai ahli keluarganya sedang disediakan untuk dikemukakan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Jadi, saya beritahu mereka saya berdarah Malaysia. Dan kemudian mereka berkata, ‘Apakah anda sedia mempertimbang beraksi untuk skuad bola sepak Malaysia?’ Saya kata, ‘Jika itu boleh dilakukan, sudah tentu’.

“Sekarang mereka meminta sijil kelahiran ibu dan bapa saya yang menetap di Belanda dan daripada datuk saya. Dokumen itu perlu dihantar dari Jerman, dokumen itu kini dihantar.

“Sejujurnya, pada mula saya fikir ia tidak akan berjaya, (untuk) menjadi sebahagian dari Malaysia, bunyinya mustahil,” katanya.

Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mendedahkan dua pemain berdarah warisan bakal mewakili skuad senior negara.

sumber: HM

Dua pemain yang dinyatakan beliau ialah Deijl dan pemain tengah St Louis City 2, Wan Kuzain Wan Kamal.

Sekiranya proses dokumentasi berjalan lancar, Deijl bakal menambah pilihan Pau Marti Vicente di bahagian bek kanan skuad negara.