Peruntukan RM5.74 juta bina, baik pulih rumah veteran ATM

HULU TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) memperuntukkan RM5.74 juta bagi pembinaan baharu dan baik pulih rumah ahli-ahlinya di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, pihaknya menyasar untuk membaik pulih sehingga 200 rumah dan membina 40 rumah baharu sepanjang tahun ini.

“Sebanyak RM2.9 juta disediakan bagi tujuan baik pulih rumah manakala RM2.84 juta pula bagi pembinaan baharu.

“Inisiatif ini bagi menjaga kebajikan pesara tentera tergolong dalam kalangan B40 yang tidak memiliki rumah sendiri atau kediamannya sangat daif,” katanya selepas menyerahkan kit banjir kepada 50 veteran ATM di Kuala Berang di sini hari ini.

Zambery berkata, JHEV ATM telah membina 30 rumah baharu dan membaik pulih 152 kediaman pesara tentera melibatkan peruntukan RM4.59 juta pada tahun lalu.

Jelas beliau, ia merupakan sebahagian inisiatif diambil JHEV ATM bagi menjaga kebajikan hampir 180,000 ahli veteran ATM di seluruh negara.

Dalam pada itu, Zambery berkata, seramai 2,500 veteran ATM seluruh negara telah dikenal pasti terjejas dengan banjir baru-baru ini.

Beliau berkata, mereka menerima kit banjir yang mengandungi barangan penjagaan diri dan makanan sumbangan pelbagai badan bukan kerajaan seperti Humanitarian Care Malaysia Berhad. – KOSMO! ONLINE

The post Peruntukan RM5.74 juta bina, baik pulih rumah veteran ATM appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*