Piala Malaysia: 2 pasukan dapat laluan mudah

KUALA LUMPUR: Finalis Piala Malaysia musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) tampak berdepan laluan mudah untuk lolos ke suku akhir musim ini.

Ia selepas JDT yang juga juara empat kali dan juara edisi 2001, TFC diundi berdepan wakil Liga A1, Kuala Lumpur Rovers dan Melaka FC di pusingan 16 yang akan berlangsung secara timbal balik.

Untuk rekod, Harimau Selatan tampil dalam saingan Piala Malaysia musim ini selaku juara bertahan apabila menjulang trofi kejohanan tertua di rantau Asia itu musim lalu selepas menewaskan skuad Penyu 3-1 di final.

Juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor dilihat berdepan laluan sukar apabila diundi menentang Sri Pahang dalam majlis undian yang berlangsung, sebentar tadi.

Pasukan yang kini berada di tangga ketiga Liga Super, Sabah pula dianggap bertuah seperti JDT dan TFC apabila skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu akan berdepan cabaran satu lagi wakil Liga A1, PT Athletic FC.

Juara edisi 2021, Kuala Lumpur (KL) City diundi menentang pasukan sedang bergelut dengan isu kewangan yang juga juga juara lima kali, Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Sementara itu, tiga lagi perlawanan peringkat 16 menyaksikan pertembungan wakil Liga Super dengan Perak menentang Kelantan Darul Naim (KDN), Kuching City berdepan Penang dan PDRM bertemu pasukan tercorot Liga Super, Negeri Sembilan.

Mengikut perancangan awal Liga Bolasepak Malaysia (MFL), perlawanan pertama pusingan 16 dijangka bermula pada 20 November, namun tertakluk kepada perubahan.

sumber: BH

Bagi pasukan yang tidak dapat meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir, mereka secara automatik akan bertanding di pentas Piala Cabaran MFL.