PM & Menteri Pendidikan Rai Pendidik Dalam Sambutan Hari Guru Kebangsaan

MELAKA, 16 MEI 2023 – Tanggal 16 Mei merupakan tarikh yang amat besar maknanya dan cukup istimewa kepada semua insan yang bergelar guru. Sambutan Hari Guru telah diraikan semenjak 22 Mac 1972 dan kemudiannya disambut setiap tahun pada tanggal 16 Mei.

Sambutan ini, merupakan suatu pengiktirafan dan penghargaan yang amat tinggi kepada semua guru di negara kita yang menjadi nadi utama dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Tahun 2023 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bertempat di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Turut hadir meraikan, Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh, Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina binti Sidek serta barisan Pegawai Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan Negeri.

Objektif utama penganjuran Hari Guru pada setiap tahun ialah untuk menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat selain menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan pentingnya guru dalam masyarakat Malaysia.

Di samping itu, Hari Guru dianjurkan bagi memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibbah dalam kalangan guru serta meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat dan memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui diskusi, forum dan aktiviti lain yang diadakan pada Hari Guru.

Hasrat murni pendidikan, iaitu pembinaan kualiti akhlak terunggul dalam kalangan guru bagi memastikan kejayaan pembentukan bangsa yang cemerlang adalah selari dengan tema Hari Guru pada tahun ini, “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”.

Bertepatan dengan konsep Malaysia Madani, guru bertanggungjawab sebagai pemacu dalam pembinaan generasi berperibadi mulia, mampan dan berdaya cipta bagi melahirkan masyarakat yang terkedepan dari segi pemikiran dan kerohanian tanpa mengabaikan pencapaian kebendaan.

Bagi menghargai serta mengiktiraf jasa dan kecemerlangan guru, Majlis turut menyaksikan penyampaian dua (2) Anugerah Utama iaitu Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023 dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri.

Rakan strategik utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti Yayasan Guru Tun Hussein On (YTHO), Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Malaysia Airlines (MAS), McDonald’s Malaysia dan Nestle Sdn. Bhd. banyak membantu dalam menjayakan sambutan Hari Guru Tahun 2023.

Sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan yang melibatkan ibu bapa, komuniti, agensi dan rakan strategik KPM.

KPM sentiasa berusaha memartabatkan profesion keguruan ini agar profesion ini akan terus tekal dan signifikan dalam mengharungi arus kemajuan dunia. Sudah semestinya KPM akan terus memberikan sokongan kepada guru dan agenda pendidikan negara. KPM akan memberikan keutamaan terhadap kecemerlangan pendidikan tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli.

Di samping itu, program-program khas juga akan terus disemarakkan demi memastikan kecemerlangan pendidikan negara.
Di samping itu, bagi menyokong perkhidmatan perguruan ini terus efisien dan profesional, KPM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti. KPM juga akan memastikan guru yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan.

The post PM & Menteri Pendidikan Rai Pendidik Dalam Sambutan Hari Guru Kebangsaan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*