Poligami Tanpa Pengetahuan, Bukan Hanya Beri Impak Pada Si Isteri, Bahkan Juga Sang Suami

poligami

Umum sudah mengetahui, amalan kahwin lebih daripada seorang isteri atau disebut poligami dalam rumah tangga bukanlah sesuatu isu baharu yang diperkatakan, malah perkara ini sudah ‘biasa’ berlaku di negara kita.

Justeru, terbukti menjalani alam bahtera rumah tangga bukanlah sesuatu yang mudah, jadi jangan pandang sebelah mata setiap permasalahan yang berlaku, berbincanglah dengan terbuka. Terima kekurangan yang ada pada pasangan, bukankah ikatan perkahwinan ini melengkapi antara satu sama lain?

Tetapi di sini, tidak dikatakan semua kes poligami yang berlaku disebabkan masalah yang berlaku dalam rumah tangga, ada sahaja si isteri yang ‘merestui’ perkara tersebut daripada berlaku tetapi hanya dalam bilangan yang kecil sahaja.

Seperti yang dialami oleh seorang selebriti tempatan baru-baru ini, si suaminya yang juga merupakan pengarah terkenal telah mengambil keputusan untuk berkahwin kali kedua namun dipercayai mendapat maklum balas ‘kurang enak’ daripada keluarganya.

Justeru adakah poligami seperti ini membawa impak yang baik ataupun sebaliknya, khususnya kepada isteri pertama itu sendiri? Jadi ikuti perkongsian Hello Doktor kali ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang poligami yang dibenarkan di sisi agama.

Poligami Tanpa Pengetahuan, Bukan Hanya Beri Impak Pada Si Isteri, Bahkan Juga Sang Suami

Baru-baru ini, hangat diperkatakan di seluruh negara mengenai kisah sensasi poligami seorang pengarah filem terkenal. Ia menjadi buah mulut memandangkan pengarah filem tersebut telah lama merahsiakan dan menafikan hubungannya dengan si isteri kedua sehinggalah ia didedahkan media baru-baru ini. Kes seperti ini bukanlah pertama kali berlaku, baik dalam kalangan selebriti terkenal, mahupun dalam kalangan masyarakat awam. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil jika seorang lelaki itu tidak memahami apakah sebenarnya syarat poligami atau adil dalam poligami. Ikuti artikel ini lebih lanjut.

poligami
Kredit: Hello Doktor

Syarat poligami yang orang lelaki kena faham

Walaupun amalan poligami ini sebenarnya dibenarkan dalam Islam, namun ia tidaklah semudah yang disangka.

Ini kerana ia melibatkan kemampuan si suami dalam menyediakan segala keperluan isteri kedua, ketiga mahupun keempat, dengan tidak mengabaikan kepentingan dan keperluan isteri-isteri sebelumnya.

Ini bermaksud, tanggungjawab seorang suami itu akan semakin bertambah dengan nilai yang sama bagi setiap seorang isteri yang dikahwininya.

Antara syarat utama yang mesti dipenuhi jika hendak berpoligami ialah:

  1. Berkemampuan menyediakan nafkah untuk setiap isteri dan anak-anak.
  2. Berlaku adil kepada setiap isteri.

Bagi maksud adil dalam poligami kepada isteri-isteri, ada banyak perkara yang perlu dilihat.

Hal ini termasuklah adil dengan menyediakan kediaman bagi setiap isteri, adil dalam memberikan nafkah batin dan juga dalam aspek pemberian nafkah zahir.

Kesan poligami yang tidak adil kepada isteri pertama

Poligami tanpa memberitahu isteri pertama sememangnya boleh dikatakan sebagai poligami yang tidak adil. Ini kerana, isteri pertama tidak diberikan peluang untuk mengetahui perancangan si suami untuk berkahwin lagi.

Walaupun suami berhak untuk mengahwini isteri kedua atau seterusnya tanpa persetujuan isteri pertama (kerana persetujuan isteri bukan syarat poligami), tetapi ia seolah-olah membayangkan bahawa si suami telah mengabaikan tekanan emosi atau perasaan yang akan dihadapi oleh isteri pertama.

Bagi seorang wanita, siapa sahaja yang tidak akan berasa kecewa, marah, tertekan atau sakit hati apabila si suami berkahwin secara senyap-senyap dengan wanita lain tanpa pengetahuannya.

Lebih-lebih lagi jika perkahwinan tersebut disorok atau dinafikan sejak sekian lama.

Walaupun isteri pertama tidak mengalami penderaan fizikal, layanan seperti ini daripada si suami boleh disifatkan sebagai penderaan emosi kepada isteri pertama tersebut.

poligami
Kredit: Hello Doktor

 

Ini yang bakal dihadap si suami jika syarat poligami diabaikan

Tekanan atau gangguan emosi ini bukan hanya berlaku kepada isteri pertama, tetapi kepada si suami itu sendiri. Jika si suami berkahwin lagi tanpa pengetahuan si isteri, dan menjalankan pernikahannya di luar negara, maka kesannya akan menjadi lebih besar.

Apabila ia mula ingin didaftarkan di Malaysia, biasanya ia lebih mudah untuk diketahui oleh ahli keluarga yang lain.

Pada waktu ini, mungkin ramai yang mula memperkatakan tindakan anda yang ‘menambah cawangan’ secara rahsia tanpa pengetahuan isteri pertama. Anda akan dilihat atau dicop sebagai seorang yang tidak berhati perut, tidak bertimbang rasa dan sudah mula meninggalkan tanggungjawab kepada isteri pertama.

Apabila hal ini sudah tiba ke telinga isteri pertama, maka akan berlaku beberapa episod lain yang tidak terjangka.

Sebagai contoh, isteri pertama mungkin akan menyerang anda dan isteri kedua setelah dia mengetahuinya. Bukan itu sahaja, isteri pertama juga mungkin akan meminta fasakh atau perpisahan menerusi mahkamah syariah jika dia merasakan bahawa suaminya sudah mengabaikan keperluan dan kehendaknya.

Perkara seperti ini bukanlah satu perkara yang baik kerana dalam niat anda untuk ‘membina masjid’ kedua, anda telah ‘merobohkan masjid’ atau perkahwinan sedia ada anda.

Ini bukanlah sunnah atau tujuan poligami yang dibenarkan dalam Islam.

Jika ini berlaku, imej anda akan menjadi lebih buruk dan mula menjadi buah mulut orang ramai kerana anda tidak mengikuti syarat poligami dengan betul.

poligami
Kredit: Hello Doktor

Kesimpulan

Perkahwinan bukan bermaksud cinta atau keseronokan semata-mata, tetapi ia lebih kepada penerimaan tanggungjawab baharu yang lebih besar.

Jika sebelum ini anda hanya menguruskan diri sendiri, perkahwinan menyebabkan anda perlu menjaga, mendidik dan menguruskan isteri dan anak-anak.

Semakin ramai isteri dan anak anda, maka semakin besarlah tanggungjawab anda kepada mereka.

Ingatlah, setiap tanggungjawab ini akan ditanya kembali di akhirat untuk melihat sama ada anda bersifat amanah dan adil dalam poligami ketika di dunia dahulu.

Teliti kembali syarat poligami sebelum anda merancangnya.

Sumber: Hello Doktor

The post Poligami Tanpa Pengetahuan, Bukan Hanya Beri Impak Pada Si Isteri, Bahkan Juga Sang Suami appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*