Polis Tahan Tiga Lelaki Disyaki Terlibat Tiga Kes Letupan Mesin ATM Di Setia Alam

tiga lelaki letupan mesin ATM

Polis Tahan Tiga Lelaki Disyaki Terlibat Tiga Kes Letupan Mesin ATM Di Setia Alam

SHAH ALAM, 2 Mac (Bernama) — Polis menahan tiga rakan subahat disyaki terlibat dalam kes letupan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di Setia Alam dekat sini pada 23 Feb lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tangkapan ketiga-tiga suspek dibuat pada 28 Feb di tiga lokasi berasingan di sekitar Kuang dan Meru dan kini direman selama tujuh hari bermula semalam.

Beliau berkata ketika kejadian tersebut, ketiga-tiga suspek telah meletupkan dua buah mesin ATM dan berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM267,150 daripada satu daripada mesin berkenaan.

Katanya, susulan penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 43 tahun itu, polis juga berjaya menyelesaikan dua lagi kes letupan ATM milik bank yang sama berlaku di Meru pada Dis 2020 dan Februari tahun lepas.

“Seorang daripada suspek berusia 43 tahun yang disyaki dalang kejadian itu ditahan di bengkel tempatnya bekerja selain polis turut merampas sebuah tong gas mempunyai tompokan hijau dipercayai digunakan untuk meletupkan mesin ATM,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata dua suspek lagi berusia 30 dan 33 tahun pula ditahan di rumah masing-masing ketika sedang  mencuci duit hasil rompakan tersebut menggunakan cecair peluntur.

BACA JUGA: Berang Anak Enggan Jaga Selepas Terlibat Kemalangan, Lelaki Nekad Fail Saman

Menurut beliau, semakan polis mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau serta dadah dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.

Mengenai kes penemuan satu mayat yang tidak cukup sifat dalam sebuah beg hitam ditemukan oleh orang awam di kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur Rawang Selatan pada pertengahan bulan lepas katanya, polis telah menahan 15 warga asing untuk siasatan.

Kesemua mereka terdiri daripada warga Nepal (12 lelaki dan seorang wanita), Indonesia (seorang lelaki dan seorang wanita) serta seorang lelaki warga Filipina berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun.

Hussien berkata, hasil siasatan tersebut polis akan mendakwa tiga lelaki Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan termasuk seorang yang masih bebas dalam masa terdekat.

Katanya, punca pembunuhan mangsa warganegara Nepal berusia 48 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai kerana mangsa sering membuli suspek di tempat kerja.

“Hasil siasatan mendapati pembunuhan tersebut dilakukan di stor sebuah pangsapuri tempat mereka bekerja di Sungai Buloh,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Polis Tahan Tiga Lelaki Disyaki Terlibat Tiga Kes Letupan Mesin ATM Di Setia Alam appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*