Polking dedah strategi ampuh julang Thailand

PENGENDALI Thailand, Alexandre Polking percaya strategi ampuh yang direncanakan menjadi punca pasukan boleh melangkah ke pentas final Piala AFF 2022 selepas menewaskan Malaysia 3-1 secara agregat kelmarin.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat itu, skuad Gajah Perang mempamerkan kebangkitan daripada ke­tinggalan 0-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu dengan merekodkan kemenangan bergaya 3-0.

Menurut Polking, apa yang dipamerkan oleh pasukannya ketika di tempat lawan adalah jauh lebih baik berbanding di laman sendiri meskipun gagal merekodkan kemenangan.

“Saya rasa kami bermain de­ngan lebih baik di Bukit Jalil tetapi dua aksi separuh akhir ini juga memberikan dimensi tersendiri buat kedua-dua pasukan.

“Secara keseluruhan, aksi te­lah ditentukan dalam tempoh 180 minit dan saya percaya strategi yang dirancang menjadi.

“Jika ditanya mengenai aksi kali ini, saya akui gol awal yang dijaringkan telah memberi kelegaan buat pasukan yang boleh beraksi seperti biasa selepas itu.

“Pasukan lawan juga tidak dapat beraksi se­perti kebiasaan dengan mencipta peluang bahaya kerana pertahanan kami menjalankan tugas de­ngan sempurna,” kata pengendali import dari Brazil itu.

Skuad Gajah Perang yang merupakan juara bertahan akan menentang Vietnam pada aksi final Piala AFF 2022 kali ini.

Thailand akan bertandang ke Stadium My Dinh, Hanoi untuk pu­singan pertama malam esok sebelum melayan kunjungan skuad Naga Emas di Bangkok pada aksi kedua, Isnin depan.

The post Polking dedah strategi ampuh julang Thailand appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*