Presiden seru ahli UMNO muhasabah dalam perjuangan parti

KUALA LUMPUR – Ucapan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 menyeru agar semua ahlinya bermuhasabah dalam perjuangan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selain itu, Ahmad Zahid juga menetapkan hala tuju parti selari dengan prinsip yang dibawa.

Jelasnya, ia termasuk peranan yang dimainkan oleh UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ucapan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru (semua ahli) agar bermuhasabah selain menyatakan hala tuju parti selepas ini.

“Namun, ditegaskan bahawa UMNO tidak akan lari daripada prinsip khususnya dalam perjuangan untuk kepentingan negara, agama, mempertahankan perlembagaan dan kepentingan untuk terus membela nasib orang Melayu dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Dewan Merdeka selepas menghadiri Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, Ahmad Zahid turut menggariskan beberapa kronologi sehingga UMNO membuat keputusan untuk bersama dengan Kerajaan Perpaduan.

“Saya rasa pada keseluruhannya, taklimat petang ini mendapat reaksi yang baik dengan sambutan yang begitu mantap sekali daripada perwakilan yang hadir,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil memberitahu, bahawa taklimat itu turut menyentuh mengenai solidariti parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini.

“Hari ini bincang pasal solidariti dalam UMNO kerana perpaduan amat penting dan kita akan berhadapan dengan PRN. Akan ada 6 PRN, jadi kesepaduan dalam UMNO itu penting,” katanya ringkas. – KOSMO! ONLINE.

The post Presiden seru ahli UMNO muhasabah dalam perjuangan parti appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*