Produk kesihatan dakwaan palsu bawa mudarat

SEJAK kebelakangan ini, negara kita dibanjiri dengan produk-produk kesihatan yang menawarkan janji rawatan untuk 1,001 jenis penyakit.

Satu produk boleh merawat kencing manis, darah tinggi, serangan jantung, gout dan mencantikkan wajah.

Kesemua dakwaan tersebut turut dimuat naik ke dalam media sosial yang menjadi pemangkin kepada produk-produk berkenaan dipasarkan kepada pengguna.

Sasaran utama penjual produk kesihatan dengan dakwaan palsu ini adalah individu yang terdesak mencari jalan pintas bagi masalah kesihatan mereka.

Biasanya, mereka yang menjadi mangsa produk-produk berkenaan adalah warga emas yang dibelenggu masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Bagaimanakah cara untuk mengelakkan daripada terpedaya dengan kaedah pemasaran produk kesihatan palsu ini?

Sebaiknya, rujuk kepada Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 yang digubal untuk mengelakkan rakyat daripada terpedaya dengan dakwaan palsu produk-produk kesihatan.

Menurut akta tersebut, terdapat 20 penyakit yang dilarang untuk diiklankan bagi tujuan rawatan, pencegahan atau diagnosis.

Penyakit tersebut adalah kerosakan buah pinggang, masalah jantung, kencing manis, sawan, lumpuh, batuk kering, asma atau lelah, kusta, barah, kanser, pekak, ketagihan dadah, penyakit mata dan hernia.

Tekanan darah tinggi merupakan salah satu penyakit yang dilarang untuk diiklankan bagi tujuan rawatan, pencegahan dan diagnosis. – Gambar hiasan

Selain itu, tekanan darah tinggi, sakit mental, kemandulan, kaku syahwat, lemah fungsi seks, penyakit kelamin dan kelemahan urat saraf atau berhubung dengan perhubungan seks turut dilarang untuk diiklankan.

Kesemua penyakit tersebut dilarang digunakan sebagai bahan promosi untuk mana-mana produk.

Selain itu, pengguna dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan testimoni dan penggunaan selebriti sebagai kaedah promosi.

Kebergantungan kepada testimoni atau kata-kata pengguna dan selebriti merupakan satu kaedah untuk menarik perhatian orang ramai terutamanya di media sosial.

Tangkap layar perbualan melalui aplikasi teks seperti WhatsApp sering kali digunakan bagi menipu pengguna.

Bagaimanapun, bukti keberkesanan sesuatu produk bukan bergantung kepada testimoni, tetapi turut menggunakan kajian saintifik yang telah melalui peer review oleh saintis.

Malah, teknologi terkini di dalam aplikasi telefon bimbit juga membolehkan ‘perbualan’ direka untuk tujuan menipu pengguna tentang keberkesanan sesuatu produk berkenaan.

Sementara itu, pengguna perlu berhati-hati dengan dakwaan pseudosains atau sains palsu yang kerap dipromosikan bersama produk.

Penggunaan ayat seperti ‘kajian terkini’, ‘saintis Jepun’, ‘teknologi nano’, ‘quantum mechanics’ dan ‘teknologi infra-merah’ sering digunakan untuk memperdaya pengguna.

Namun, apabila disemak dengan lebih lanjut, tiada data dan kajian saintifik yang dapat membuktikan keberkesanan produk tersebut.

Teknik pemasaran itu juga sering menggunakan kajian sains yang masih pada peringkat asas dan tidak dikaji sepenuhnya ke atas manusia untuk menunjukkan keberkesanan produk.

Jika sesuatu produk kesihatan dipasarkan dengan tiga ciri-ciri di atas, kebarangkalian tinggi ia adalah produk kesihatan dakwaan palsu atau overclaim.

Produk-produk seperti ini boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna kerana ia tidak dikawal selia oleh mana-mana badan berkanun.

Seringkali produk-produk ini dikesan mempunyai bahan terkawal seperti sildenafil dan steroid yang boleh mendatangkan mudarat jika diambil tanpa kawal selia oleh anggota perubatan.

Sebelum menggunakan sebarang produk kesihatan, dapatkan nasihat dan konsultasi daripada doktor bertauliah.

Semakan awal juga boleh dibuat secara atas talian melalui laman web, Bahan Regulatori Farmasi Negara, www.npra.gov.my.

The post Produk kesihatan dakwaan palsu bawa mudarat appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*