Projek Rintis Pembekalan Minyak Petrol RON95 & Diesel Tanpa Subsidi Dalam Usaha Menangani Ketirisan Subsidi

PADANG BESAR, 15 FEBRUARI 2023 – Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini telah merasmikan Projek Rintis berkaitan Pembekalan Minyak Petrol RON 95 dan Diesel Tanpa Subsidi di Padang Besar, Perlis.

YB Menteri dalam ucapan perasmiannya telah memaklumkan bahawa isu ketirisan subsidi menjadi topik hangat yang dilaporkan saban tahun. Walaupun pelbagai usaha penguatkuasaan dalam menangani ketirisan atau penyelewengan minyak petrol dan diesel giat dilaksanakan, namun aktiviti penyeludupan produk petroleum ini tetap berleluasa dilaksanakan dengan bermacam modus operandi dan kaedah. Pada tahun 2022, KPDN telah merekodkan 43 tangkapan kes melibatkan penyeludupan petrol RON95 dan diesel di Perlis dengan nilai rampasan berjumlah RM100,611.00.

Dalam usaha menangani ketirisan subsidi ini, KPDN mengambil inisiatif melancarkan pembekalan minyak petrol dan diesel tanpa subsidi kepada kenderaan pendaftaran asing. Inisiatif ini akan memberi kemudahan kepada kenderaan berpendaftaran asing untuk mendapatkan bekalan minyak petrol dan diesel di stesen minyak komersial atau akan datang di stesen minyak sedia ada dengan harga komersial dan tanpa subsidi.

Projek rintis ini akan dilaksanakan di negeri Perlis terlebih dahulu bagi tempoh 3 bulan dari Februari hingga April 2023 bagi menilai keberkesanan program ini sebelum ia dipanjangkan kepada negeri- negeri sempadan yang lain seperti Kedah, Perak, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Melalui pelaksanaan projek rintis di Perlis ini, Arahan Pengawal Bekalan yang baharu (hanya untuk pelaksanaan di Perlis) telah dikeluarkan berkuatkuasa 1 Februari 2023 mengenai larangan penjualan minyak diesel kepada kenderaan berpendaftaran asing. Walau bagaimanapun, semua kenderaan berpendaftaran asing di Perlis masih boleh mendapatkan bekalan minyak petrol atau diesel tanpa subsidi. Buat masa ini, terdapat dua (2) stesen minyak tanpa subsidi masing-masing di Padang Besar dan Wang Kelian.

Pelaksanaan inisiatif ini akan diseimbangkan dengan operasi penguatkuasaan yang berterusan bagi memastikan program ini mencapai objektif yang disasarkan serta dijayakan dengan mematuhi peraturan dan perundangan yang berkuatkuasa. Kerajaan juga telah mengamanahkan sejumlah 28 buah kenderaan Proton X70 kepada Bahagian Penguatkuasa KPDN untuk dimanfaatkan dalam operasi penguatkuasaan terutama di lokasi hot spot kawasan sempadan. Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang ditetapkan.

The post Projek Rintis Pembekalan Minyak Petrol RON95 & Diesel Tanpa Subsidi Dalam Usaha Menangani Ketirisan Subsidi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*