Projek Tanaman Pintar Guna Teknologi Nano Hasilkan 3 Tan Sayur, 6,000 Ekor Ikan Setiap Musim

Projek akuaponik pintar guna teknologi nano MOSTI mampu hasilkan tiga tan sayuran, 6,000 ikan setiap kitaran musim di Manong, Perak

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus membangunkan ekosistem inovatif yang dapat membantu menyusun rantaian bekalan makanan supaya lebih berdaya tahan, mampan serta dapat mendepani isu keterjaminan bekalan makanan.

Langkah MOSTI itu juga selari dengan kerangka dasar Malaysia MADANI terutama sekali tonggak Kemampanan, Kesejahteraan dan Daya Cipta untuk mengukuhkan keperluan ekonomi, kemasyarakatan, bandar dan luar bandar negara.

Sehubungan dengan itu, MOSTI telah membangunkan inovasi berasaskan nanoteknologi yang bermanfaat kepada sektor pertanian terutamanya pertanian pintar (smart farming) yang dinamakan REVOLUTIoNT.

Teknologi bersepadu MOSTI menghasilkan pelbagai sayuran subur dan segar.

Inovasi nanoteknologi ini telah dilaksanakan oleh MOSTI menerusi agensinya, NanoMalaysia Berhad bersama rakan industri dan institusi penyelidikan di Malaysia melalui model perniagaan Bina Teroka (Venture Builder Model).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menjelaskan, REVOLUTIoNT adalah inisiatif inovasi di bawah Dasar 4IR Negara. Ia adalah antara teras utama dasar yang memberi tumpuan kepada nanoteknologi dan pembangunan produk serta penggunaan Internet Pelbagai Benda Nano (IoNT).

“MOSTI berusaha untuk membangunkan beberapa inovasi teknologi bagi mengurangkan kebimbangan semasa yang berkaitan dengan peningkatan kos makanan. Penggunaan ruang dan sumber yang cekap adalah penting untuk memastikan keselamatan makanan boleh diuruskan dengan sewajarnya. NanoMalaysia Berhad telah menggunakan penyelesaian berteknologi nano untuk menawarkan alternatif kepada kaedah penanaman hasil makanan yang sedia ada,” katanya.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan penyelesaian bagi pelbagai penggunaan, termasuk dalam industri makanan dan pertanian selaras dengan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021 – 2030. Inisiatif REVOLUTIoNT memberi fokus kepada pertanian pintar dan pertanian jitu untuk pulangan yang lebih cekap.

YB Chang Lih Kang meneliti benih sayur di tapak projek MOSTI di Manong, Perak

Terkini, di bawah inisiatif MOSTI ini, projek Floraponic Farm Malaysia (FFM) telah dilaksanakan di Manong, Perak (FFM@Manong). Ia adalah satu daripada projek pertanian akuaponik inovatif NanoMalaysia bersama rakan industri iaitu Flora Niaga Sdn Bhd dengan kombinasi bersepadu teknologi nano dalam akuakultur-pertanian.

MOSTI melalui NanoMalaysia telah membiayai kos RM1 juta untuk menjayakan FFM@Manong di bawah program iNanovation (RMK11) pada 2020. Hasil projek ini seperti ikan dan tanaman yang dijual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Lih Kang yakin teknologi bersepadu MOSTI ini berpotensi membantu pelaksanaan agenda keterjaminan makanan negara untuk jangka masa panjang.

Projek akuaponik ini juga menggunakan teknologi sistem Panel Tenaga Suria Nano dalam menghasilkan tenaga yang diperbaharui (renewable energy) dengan kos yang rendah. Sekaligus ia memastikan kelangsungan operasi sepanjang masa.

Dengan cara itu, ia lebih fleksibel untuk beroperasi di kawasan terpencil atau pedalaman. FFM@Manong merangkumi kolam ikan dan sistem hasil tani (seperti sayur-sayuran) di kawasan seluas 2.5 ekar. Aktiviti pertanian menegaknya berupaya menghasilkan sehingga tiga (3) tan sayuran setiap kitaran. Ternakan akuakultur pula mampu menghasilkan 6,000 ekor ikan untuk setiap kitaran pembiakan.

Kualiti air dan peralatan diperiksa setiap hari untuk memastikan aktiviti berjaya.
Ikan dibela menggunakan air yang bersih tanpa gangguan bau air mahupun makanan ternakan.

Antara penternakan dan sayuran FFM@Manong adalah Pak Choi Kerinting Pendek (Dwarf Pak Choy), dan juga sayur salad serta ikan tilapia.

Bahan aktif nano pula digunakan bagi mencegah pembentukan lumut atau bahan oksida dengan teknologi pintar bagi memastikan pemantauan 24 jam. MOSTI menggunakan sistem pemantauan ini berasaskan aplikasi mudah alih untuk pemantauan jarak jauh melalui telefon bimbit atau di pejabat penyelarasan operasi. Langkah ini menepati aspirasi Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 negara.

Projek bersepadu MOSTI ini turut menawarkan alternatif kepada sumber nutrien protein dan sayuran melalui penggunaan Panel Tenaga Suria Nano sebagai penjana kuasa di dalam industri pertanian akuaponik.

Kos operasi terurus secara pintar dan jimat dengan penggunaan Panel Tenaga Suria Nano untuk mengumpulkan tenaga solar sebagai sumber tenaga utama. Sumber tenaga berasaskan bahan api fosil daripada grid nasional pula memberikan lebih fleksibiliti untuk beroperasi di kawasan terpencil.

MUTU — mutu benih sayuran sentiasa dipiawai.

Penggunaan sel solar berasaskan nanoteknologi MOSTI membolehkan masa penjanaan elektrik yang lebih panjang sejak matahari terbit hingga terbenam. Langkah MOSTI ini juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau, selaras dengan sasaran neutral karbon menjelang tahun 2050.

Di bawah projek ini, komponen pemantauan seperti kelembapan udara dalaman, keamatan cahaya, suhu air, pH dan tekanan persekitaran dapat memberi petunjuk pada parameter operasi untuk penyelesaian masalah bagi output yang optimum.

FFM@Manong adalah sebahagian daripada usaha MOSTI untuk terus memacu pembangunan nanoteknologi negara, memperkukuh, memantapkan hubungan serta kerjasama antara industri dan akademia. Dengan kerjasama pelbagai pihak pembangunan teknologi berupaya memenuhi kehendak industri dan keperluan pasaran.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pertanian menyumbang 7.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020. Malaysia berada pada kedudukan kelapan dalam kalangan 10 buah negara ASEAN bagi sumbangan sektor pertanian kepada KDNK. Selain itu, jumlah import makanan negara telah meningkat daripada RM45.3 bilion pada tahun 2015 kepada RM55.4 bilion pada tahun 2020 (kadar purata sebanyak 4.1 peratus setahun) menjadikan Malaysia sangat bergantung kepada makanan import.

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, “REVOLUTIoNT menggunakan teknologi dan penyelesaian baharu untuk menangani isu jaminan makanan di Malaysia. Nanoteknologi mempunyai pelbagai kegunaan yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar untuk menghasilkan makanan.

“Usaha ini juga selari dengan fokus NanoMalaysia tahun ini untuk menggunakan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) oleh PBB sebagai prinsip panduan untuk strategi korporat, budaya dan operasi NanoMalaysia dalam menangani cabaran negara dan global”.

KUALITI — Sayur hidup subur dan segar menggunakan kaedah tanaman menegak berasaskan sistem akuaponik yang bersumberkan tenaga solar MOSTI.

The post Projek Tanaman Pintar Guna Teknologi Nano Hasilkan 3 Tan Sayur, 6,000 Ekor Ikan Setiap Musim appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*