Protes menentang Benjamin Netanyahu tercetus di Tel Aviv

TEL AVIV – Beribu-ribu penduduk Israel menyertai tunjuk perasaan kelmarin bagi menentang kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, lapor laman berita Middle East Eye semalam.

Mereka membawa sepanduk yang bertulis slogan seperti ‘Demokrasi dalam bahaya’ dan ‘Bersama menentang fasisme dan aparteid’ di Tel Aviv.

Dalam tunjuk perasaan itu, ada peserta yang mengibar bendera Israel dan bendera pelangi yang sinonim dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sejumlah penduduk lain memegang sepanduk besar bertulis ‘Menteri jenayah’ iaitu slogan yang digunakan secara meluas oleh Israel semasa demonstrasi menentang Netanyahu pada tahun-tahun lalu.

Berikutan kemenangannya dalam pilihan raya pada 1 November tahun lalu, Netanyahu mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada akhir bulan lalu sebagai ketua gabungan beberapa parti-parti politik.

Beliau menjadi Perdana Menteri dengan sokongan parti-parti Yahudi ekstrem kanan dan ultra-Ortodoks manakala beberapa pegawainya kini mengetuai kementerian penting.

Ia termasuk seorang ahli politik yang pada akhir tahun lalu mengaku melakukan pengelakkan cukai dan sekumpulan personaliti sayap kanan termasuk yang pernah menyimpan potret memaparkan seorang lelaki melakukan pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin.

Netanyahu, 73, yang kini menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Israel bermula dari 1996 hingga 1999 dan dari 2009 hingga 2021.

Kerajaan baharu telah mengumumkan hasrat untuk meneruskan dasar pengembangan penempatan haram di Tebing Barat, Palestin yang diceroboh rejim Zionis serta melaksanakan pembaharuan sosial yang membimbangkan ahli dan penyokong komuniti LGBT. – Agensi

 

The post Protes menentang Benjamin Netanyahu tercetus di Tel Aviv appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*