DUN P.Pinang Lulus Usul Isytihar Pengosongan Kerusi Empat DUN

Pulau pinang kerusi dun

DUN P.Pinang Lulus Usul Isytihar Pengosongan Kerusi Empat DUN

GEORGE TOWN, 6 Mac (Bernama) — Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini telah membahaskan dan meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Empat ADUN terlibat terdiri daripada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) turut diarah keluar meninggalkan sidang DUN tengah hari tadi selepas usul itu diluluskan.

Mesyuarat Ketiga Penggal kelima DUN Pulau Pinang Ke-14 hari ini menyaksikan Speaker, Datuk Law Choo Kiang membenarkan usul itu dicadang dan dibahaskan terlebih dahulu, selepas mengambil kira kepentingannya yang berkaitan dengan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta berikutan keputusan mahkamah berkenaan enakmen anti lompat parti, 2 Mac lepas.

Law turut memaklumkan bahawa sesuatu kekosongan luar jangka tidak boleh diisi memandangkan DUN akan terbubar kurang daripada dua tahun.

Keempat-empat mereka meninggalkan bangunan DUN kira-kira pukul 1 tengah hari selepas diarahkan berbuat demikian oleh speaker DUN sebaik sahaja usul itu mendapat sokongan majoriti ADUN.

Terdahulu, usul itu dicadangkan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PH-Pinang Tunggal) dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo (PH-Datuk Keramat).

BACA JUGA: Kenaikan Skim Gaji Pejawat Awam Jadi Keutamaan Bila Pendapatan Negara Meningkat

Ahmad Zakiyuddin berkata Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan jelas menetapkan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya apabila melepaskan, berhenti atau dilucutkan keahlian daripada sesebuah parti politik atau menyertai mana-mana parti politik lain.

Menurutnya, perkara itu terpakai kepada ADUN Bertam dan Teluk Bahang yang merupakan ahli Bersatu dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bertanding atas tiket logo PKR dan mendapat merit daripada Presiden PKR, manakala ADUN Sungai Acheh dan Seberang Jaya pula telah dipecat daripada PKR.

“Sekiranya pengisytiharan tersebut diluluskan, Yang Dipertua DUN menurut Fasal 14A(4) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang hendaklah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa telah berlakunya kekosongan empat kerusi DUN Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum usul itu mula dibahaskan, Law telah menegur Dr Afif kerana membuat rakaman video di dalam DUN ketika Ahmad Zakiyuddin membentangkan usul itu, namun beliau memberi alasan rakaman berkenaan dibuat untuk simpanan peribadi.

Dalam perbahasannya, Khaliq Mehtab (PN-Bertam) berkata tiga senario melompat parti seperti disebut dalam pindaan Perlembagaan negeri itu iaitu melompat parti; dipecat daripada parti dan mengisytihar diri sebagai wakil rakyat Bebas tidak berlaku terhadap beliau serta ADUN Teluk Bahang (Zolkifly) sehingga perlu mengosongkan kerusi DUN masing-masing.

“Sebab itu, bagi kami usul ini merosakkan demokrasi dan mengkhianati mandat rakyat yang memilih kami untuk mewakili dan menjadi suara mereka,” katanya.

Secara keseluruhan, seramai 12 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu termasuk Chow Kon Yeow (PH-Padang Kota): Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Pantai Jerejak); Lee Chun Kit (PH-Pulau Tikus); Muhammad Faiz Fadzil (PH-Permatang Pasir); M. Satees (PH-Bagan Dalam) dan Mohd. Yusni Mat Piah (PN-Penaga).

Khamis lepas, Mahkamah Tinggi George Town telah menolak permohonan empat ADUN bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul mengosongkan kerusi terbabit sehingga rayuan berhubung perkara itu didengar.

BACA JUGA: Pakej Internet Perpaduan: Syarikat Telekomunikasi Boleh Tawar Harga Lebih Murah

Pada 16 Dis 2022, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan keempat-empat ADUN bagi mendapatkan kebenaran mencabar kelayakan DUN Pulau Pinang meluluskan undang-undang anti lompat parti dan memerintahkan agar kes itu didengar berkaitan isu merit di Mahkamah Tinggi.

ADUN terbabit telah memfailkan sama pada 2020 bagi mencabar keperlembagaan Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan menghalang kerusi mereka daripada diisytiharkan kosong selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 14A(1).

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Sumber: BERNAMA

The post DUN P.Pinang Lulus Usul Isytihar Pengosongan Kerusi Empat DUN appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*