Puteri Sarah anggap Syamsul pengecut, setahun nombor telefonnya disekat

PETALING JAYA – Hanya mengetahui sah dimadukan menerusi laman sosial, pelakon Puteri Sarah Liyana Kamaruddin menyifatkan tindakan suaminya, Syamsul Yusof sebagai pengecut, lebih-lebih lagi apabila menyalahkan dirinya berhubung kemelut rumah tangga mereka yang berlarutan sejak empat tahun lalu.

Kata Sarah, Syamsul juga menampakkan kemunafikannya dengan bermuka-muka menggunakan nama Allah selain enggan berbincang selepas memilih keluar dari rumah terlebih dahulu.

Lebih utama, Syamsul juga menyekat nombor telefonnya sejak setahun lalu, bahkan sehingga hari ini, nombor telefonnya masih disekat oleh suami sendiri.

“Sebelum dia ajak saya balik rumah untuk berbincang, saya nak tanya dia balik kenapa selama ini diam? Kenapa baru sekarang nak mempersoalkan? Dan siapa yang keluar rumah dulu?

“Kepada Mohammad Syamsul Yusof, kalau anda ‘unblock’ saya dan hubungi ajak berbincang, bolehkan.

“Kenapa dibiarkan berlarutan sampaikan dah kahwin pun saya tahu dari media sosial. Kenapa tak hubungi atau cari saya di rumah keluarganya saja.

“Jangan cakap saya tak cari sedangkan dia ‘block’ (sekat) nombor telefon saya sejak setahun lalu,” kata Sarah menjawab beberapa persoalan yang dirasakan wajar sebagai respons terhadal video pengakuan Syamsul petang tadi.

Menurut Puteri Sarah, tuduhan Syamsul mendakwa dirinya keluar rumah dan membawa anak-anak tanpa izin adalah tidak berasas.

Malah tegasnya, jika anak-anak boleh beri kenyataan di mahkamah, mereka akan mengatakan ayah mereka yang tiada di rumah dan meninggalkan keluarga.

“Anak-anak juga selalu bertanya kenapa ayah selalu tiada di rumah? Saya tidak lari ke mana-mana. Saya ada di rumah ibu bapa saya dan keluarga mertua. Anak-anak juga di situ.

“Anda tahu saya ada di mana, di rumah keluarga saya dan rumah mertua. Saya ada di Malaysia. ‘Come onlah’ Mohammad Syamsul, saya bukan di Thailand.

“Sepatutnya dialah yang datang ke rumah keluarga untuk berjumpa anak-anak,” ulasnya.

Bagi pelakon berusia 37 tahun itu, hakikatnya Syamsul yang memilih untuk lari daripada masalah meninggalkan dirinya terkontang-kanting membesarkan anak-anak sendirian.

“Tapi dia sendiri yang mengambil pendekatan untuk melarikan diri daripada masalah ini.

“Setiap kali ditanya, saya terpaksa berbohong kepada anak-anak bahawa mereka keluar bekerja,” kata Sarah.

Pada masa sama, Puteri Sarah turut menjelaskan berikutan

keputusan Syamsul berkahwin dengan Ira di Thailand, secara tidak langsung isteri barunya itu melanggar perintah injuksi seperti yang telah difailkan tahun lalu.

“Saya dah pernah tanya banyak kali sama ada nak berkahwin dengan Ira ataupun tidak, tapi dia tidak mengaku dan beberapa kali dia tidak mahu berkahwin dengan Ira.

“Kalau mengaku daripada awal tidaklah saya perlu saya turun naik mahkamah dan pergi ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(Jawi) untuk membuat laporan terhadap gangguan yang dibuat wanita itu.

“Sekarang ini isteri baru anda telah menghina mahkamah dengan melanggar perintah injuksi. Apa pun saya jumpa isteri baru anda di mahkamah,” katanya.

Luah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dia mempunyai bukti kukuh yang boleh dibawa ke mahkamah.

“Tapi tak mengapa saya ada semua bukti membabitkan hubungan mereka. Jadi kita tunggu di mahkamah,” ulasnya lagi. – KOSMO! ONLINE

The post Puteri Sarah anggap Syamsul pengecut, setahun nombor telefonnya disekat appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*