JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melancarkan perang psikologi dengan mendakwa rahsia pengendali Ulsan HD, Kim Pan-gon sudah diketahui barisan pemain Harimau Selatan selepas diundi dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards mengakui sukar untuk mengelak daripada diundi bersama gergasi Korea Selatan itu selepas bertemu buat musim ketiga berturut-turut.
Cuma, kali ini sedikit berbeza apabila Ulsan kini dikendalikan oleh Pan-gon yang cukup sinonim dengan arena bola sepak tanah air selepas melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya bulan lalu.
“Ini adalah kali ketiga berturut-turut kami diundi dengan Ulsan dan dilihat daripada rekod lampau, JDT mampu berikan saingan dengan meraih keputusan positif ketika menentang mereka.
“Mengenai Pan-gon, saya rasa kedua-dua pihak memiliki kelebihan apabila ramai pemain kami dalam skuad kebangsaan cukup arif dengan taktikal beliau dan begitu juga sebaliknya.
“Mungkin tiada kejutan tetapi saya jangka beliau (Pan-gon) tidak tahu dengan kekuatan jentera serangan baharu kami.
“Apa yang pasti, kami gembira apabila dua kelab yang memiliki sejarah hebat dapat bertemu di peringkat tertinggi kali ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad.
sumber: kosmo
Selain Ulsan, JDT akan menentang tiga lagi kelab hebat di Stadium Sultan Ibrahim seperti Buriram United FC (Thailand), Pohang Steelers (Korea Selatan) dan Shanghai Shenhua (China).
Sementara itu, empat aksi di gelanggang lawan yang bakal ditempuhi Harimau Selatan adalah bertemu Shanghai Port dan Shandong Taishan (China), Central Coast Mariners (Australia) serta Gwangju FC (Korea Selatan).
Sebagai rekod, sebanyak 12 kelab akan bersaing menerusi format liga lapan perlawanan dengan lapan pasukan terbaik zon timur mara ke peringkat kalah mati pada saingan ACLE musim kali ini.