Raja Sara Petra tanding Exco Puteri tekad UMNO terus relevan

PETALING JAYA: Tekad memastikan UMNO terus relevan dengan sebuah kepimpinan yang kuat mendorong Raja Sara Petra menawarkan diri calon Exco Puteri UMNO dalam pemilihan sayap pergerakan itu pada 11 Mac ini.

Menurut Ketua Puteri UMNO Bahagian Batu itu, beliau mengambil langkah berani kerana UMNO memerlukan barisan pemimpin Puteri yang kuat bagi menyokong dan mempertahankan parti dalam cabaran mendatang.

Malah, katanya lagi, beliau mahu menjadi seorang pemimpin kepada UMNO yang dilihat memainkan peranan untuk menyelamatkan Malaysia dalam keadaan situasi dunia berada dalam keadaan huru-hara ekonomi dan politik termasuk Malaysia tidak terlepas daripada ketidaktentuan ini.

“Rakyat akan menjadi resah dalam beberapa bulan mendatang melainkan mempunyai formula kemenangan seperti mana harapan rakyat menuntut pertukaran kerajaan. Kerajaan sekarang akan menjadi kerajaan singkat melainkan kita dapat meyakinkan rakyat bahawa UMNO mempunyai kepimpinan yang kuat memacu negara dan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

“Oleh demikian, Puteri UMNO boleh dijadikan kuasa yang perlu diperhitungkan dan menyokong parti untuk terus kekal relevan dengan politik Malaysia. Ini akan menjadi tugas dan komitmen sekiranya saya terpilih menjadi Exco Pergerakan Puteri UMNO,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Raja Sara lagi, kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan parti itu perlu berubah dan kembali diyakini rakyat.

Justeru itu, ia memerlukan sebuah kepimpinan yang kuat untuk memimpin parti itu ke arah kemenangan semula.

“Perjalanan UMNO tidak berjalan lancar dan tanpa ribut sepanjang perjalanan. Malah, pada tahun 1951, sebelum Merdeka, parti menghadapi cabarannya yang pertama sehingga boleh mencapai kemerdekaan. Pada 1969, 1987, 1998, 2008 dan 2018, UMNO menghadapi banyak masalah. Dan ribut terbaharu yang terpaksa diharungi UMNO ialah pilihan raya umum tahun lepas.

“Tetapi krisis terbaharu yang dihadapi UMNO pada pilihan raya umum 2022 mungkin yang paling teruk dan ia akan mengambil lebih daripada sekadar keyakinan untuk memulihkan nasib UMNO yang hilang. Maka ini memerlukan sebuah kepimpinan yang kuat,” katanya. – UTUSAN

The post Raja Sara Petra tanding Exco Puteri tekad UMNO terus relevan appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*